Ismail Sabri Yaakob
PUTRAJAYA: Kerajaan mempertingkatkan penguat kuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang-kilang dan premis-premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP) yang diwartakan.
Buktinya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejumlah 49 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
Laporan Utusan Malaysia – Kata beliau, ia hasil pemeriksaan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan yang melaksanakan 80,868 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara semalam dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,168 orang.
“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,905 buah kilang, 14,249 premis perniagaan, 742 tapak pembinaan dan 270 buah asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai 337 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 332 daripadanya dikompaun dan lima direman.
Beliau berkata, sejumlah lima pendatang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditangkap dan tujuh kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng.
“Semalam, seramai 735 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.
“Untuk rekod, sejak 24 Julai 2020, seramai 253,037 individu pulang ke tanah air dan daripada jumlah itu, seramai 9,189 individu dikuarantin dan 240,402 orang dibenarkan pulang manakala 3,446 lagi dibawa ke hospital,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut membuat 733 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri daripada peruncit (545), pemborong (158) dan pengilang (30) termasuk melakukan 2,180 pemeriksaan khas.
Daripada jumlah itu, katanya, 2,171 premis mematuhi SOP manakala sembilan lagi dikompaun.