Arthur dua dari kanan menyampaikan barangan keperluan kepada Rudey Ansok, wakil pelajar Sabah di UPSI
TANJONG MALIM: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup telah menyampaikan bantuan balul makanan kepada 134 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berasal dari Sabah.
Katanya, pemberian bantuan bakul makanan dan kit kesihatan itu merupakan usahasama Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dengan Koperasi Tanjong Keramat Malaysia Berhad dan Mercy Malaysia.
“Bantuan ini dapat membantu meringankan beban pelajar-pelajar dari Sabah yang terpaksa tinggal di kampus dan tidak dapat pulang sempena cuti semester kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 dan 2,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambahnya, bantuan yang diberikan ini juga akan dapat mengurangkan pergerakan pelajar untuk keluar bagi mendapatkan barangan keperluan harian, sekaligus akan dapat mengurangkan risiko jangkitan.

Arthur ketika mendengar maklum balas dari pelajar Sabah di UPSI
Sementara itu, Arthur menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan memberikan keutamaan kepada Kerajaan Negeri Sabah bagi pembekalan vaksin CanSino.
“Kita melihat antara cabaran utama yang dihadapi sebelum ini adalah mengenai kos logistik serta perhubungan yang menyebabkan kadar pendaftaran vaksinasi di Sabah antara yang terendah.
“Justeru, pembekalan vaksin CanSino yang memerlukan hanya satu dos suntikan bersesuaian dengan keadaan demografi negeri Sabah dan dijangka akan membantu mengurangkan kos serta cabaran logistik yang dihadapi terutamanya di kawasan pedalaman dan kampung-kampung terpencil,” katanya.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata dengan penggunaan vaksin ini beban tugas yang digalas oleh petugas kesihatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sabah khususnya bagi kawasan pedalaman akan dapat dikurangkan sehingga 50 peratus iaitu antaranya kekerapan perjalanan yang diperlukan ke sesebuah kawasan bagi memberikan suntikan vaksin.
Oleh itu, penggunaan vaksin CanSino ini akan dapat meningkatkan kadar imunisasi di Sabah disamping mempercepatkan imuniti kelompok bagi memutuskan rantaian Covid-19.