Champin Piuh
SIPITANG: Peningkatan ketara kes positif Covid-19 di daerah ini dipercayai berpunca dari tindakan tidak bertanggungjawab beberapa individu yang berkumpul dalam majlis-majlis keagamaan, kata Ketua Polis Daerah, Champin Piuh.
Champin berkata pertambahan itu berlaku secara dramatik sejak 15 Julai membabitkan beberapa kampung di daerah kecil Melamam, seperti diumumkan.
“Kes positif Covid-19 terus bertambah hari demi hari, menyebabkan beberapa kampung dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
“Siasatan oleh pihak berkuasa mendapati bahawa penyebaran kes itu adalah disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab beberapa individu yang melanggar SOP dengan berhimpun dan menganjurkan majlis-majlis keagamaan di Melamam.
“Tindakan mereka melanggar arakah kerajaan di bawah Akta 342 dan disebabkan tindakan beberapa individu yang berkumpul dalam majlis-majlis keagamaan, orang awam telah tapil membuat laporan polis dan meminta siasatan dan tindakan undang-undang diambil,” katanya, kelmarin.
Champin berkata siasatan polis mendapati ada beberapa individu yang sudah dikenal pasti dan kesemua mereka serta ahli keluarga mereka diuji positif untuk Covid-19 dan sedang dirawat di hospital.
Menurutnya, polis akan mengambil kenyataan mereka selepas mereka keluar dari hospital dan memohon kerjasama individu-individu yang menghadari majlis-majlis itu agar tampil membantu siasatan di balai polis.
Sementara itu Rabu lepas, pengurusan dan pentadbiran gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Sipitang membuat laporan polis untuk menafikan dakwaan bahawa mereka telah menganjurkan aktiviti keagamaan.
“Pengurusan SIB Sipitang mematuhi arahan bertulis dari pengurusan SIB pusat dan kerajaan agar tidak mengadakan sebarang aktiviti keagamaan di gereja atau di rumah.
“Individu-individu yang menggunakan nama SIB itu menganjurkan aktiviti keagamaan di rumah masing-masing atas kapasiti peribadi,” katanya.
– DE