Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kedai makan di Sabah dibenar beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam, di bawah Fasa Dua, Pelan Pemulihan Negara (PPN) terkini.
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ini terpakai untuk restoran, kafe, kedai kopi, trak makanan, gerai, gerai tepi jalan, penjaja tepi jalan dan bergerak, pusat penjaja, medan selera dan kios.
“Bar, pusat karaoke (KTV) dan pusat hiburan tidak diklasifikasikan di bawah kategori ini dan kerana itu, tidak dibenarkan beroperasi,” kata Masidi dalam kenyataan, semalam.
Di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikemas kini Khamis lalu, aktiviti makan di kedai makan tertakluk kepada maksimum dua orang satu meja dan makanan yang dipesan mesti dihantar terus ke meja pelanggan oleh pekerja.
“Bufet dibenarkan dengan syarat sarung tangan plastik pakai buang disediakan untuk semua pelanggan,” kata Masidi, sambil menambah kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan makan di kedai.
Pemilik kedaimakan mesti memastikan meja dan kerusi disediakan di dalam premis sahaja dan memastikan hanya pelanggan dengan status risiko rendah Covid-19 di MySejahtera dibenarkan makan di premis.
“Sebarang aktiviti sosial, majlis atau sebarang perhimpunan tidak dibenarkan,” tegas Masidi.
Sementara itu, pasar am dan pasar harian dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang, tambahan tiga jam dari sebelum ini.
“Gerai tepi jalan yang menjual buah, sayur dan ikan juga dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang,” kata Masidi, sambil menambah pasar tamu, pasar mingguan, pasar malam dan pasar tani masih belum dibenarkan beroperasi.
Beberapa kluster baharu dikenal pasti kelmarin di Kinabatangan, Sandakan, Tawau dan Tongod yang menyaksikan 100 jangkitan secara kumulatif.
– DE