Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Satu daripada empat kluster baharu kelmarin melibatkan pesakit dan kakitangan wad lelaki sebuah hospital kerajaan di Sandakan.
Kluster Jalan Utara Dua – Sandakan ini juga dikategorikan sebagai kluster pusat rawatan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks adalah lelaki, 74, yang menjalani ujian saringan Genexpert PCR selepas pemeriksaan oleh Pakar Perubatan ke atas X-ray dada, dikesan positif Covid-19.
Katanya, saringan seterusnya mendapati 11 kes positif masing-masing dua kes kakitangan dan sembilan kes pesakit-pesakit melalui saringan Genexpert PCR, manakala satu kes penjaga tahanan dan satu lagi kes kontak serumah melalui ujian RTK-Ag.
“Turut menjalani ujian saringan Genexpert PCR ialah 28 pesakit di wad tersebut dan didapati negatif, sementara 18 petugas penjagaan kesihatan (health care workers) yang menjalani ujian saringan PCR masih menunggu keputusan.
“Setakat 23 Julai 2021, kumulatif kes adalah 13 orang termasuk 11 kes baharu hari ini,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Masidi ya g juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata kluster kedua dinamakan Kluster Kg Mananam – Tongod yang dikesan pada 19 Julai 2021 melalui saringan bergejala.
Katanya, kes indeks merupakan lelaki, 49, pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah disahkan positif Covid-19 (RTK-Ag positif 34%) di Pejabat Kesihatan Daerah Tongod setelah mengalami gejala sakit kepala, sukar bernafas, hilang deria rasa, kurang selera makan dan demam.
Saringan kontak mendapati 14 lagi kes positif dalam kalangan komuniti di sekitar kampung terbabit sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 20 kes termasuk lima kes baharu.
Setakat semalam, katanya, siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan oleh pasukan siasatan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung yang berdekatan.
Sementara Kluster Jalan Stesen TV – Tawau pula melibatkan penularan jangkitan di sebuah ladang ternakan ayam di Mukim Sri Tanjung , daerah Tawau.
Masidi berkata kes indeks adalah buruh kasar lelaki, bukan warganegara, 24, disahkan positif Covid-19 dengan (RTK-Ag positif 20%) hasil saringan bergejala. Saringan kontak rapat mendapati 48 kes positif termasuk keluarga, rakan sekerja serta jiran yang tinggal di kuarters pekerja.
“Daripada 124 kontak yang disaring, kluster ini merekodkan 68 kes positif termasuk 19 kes baharu. Siasatan lanjut pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan dalam siasatan,” jelasnya.
Kluster Bukit Mas – Kinabatangan pula adalah kluster jenis tempat kerja di Mukim Sukau.
Masidi berkata kes indeks merupakan lelaki, 32, kerani stor di Ladang Sawit Bukit Mas, Kinabatangan, yang mula bergejala demam dan batuk sejak 15 Julai 2021, dan disahkan positif Covid-19 (RTK-Ag gred 100%) pada 19 Julai 2021 di Klinik Kesihatan Lahad Datu dan telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.
Saringan kontak mendapati 10 lagi kes positif dalam kalangan keluarga, pekerja dan tanggungan menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 11 kes.
Setakat semalam, katanya aktiviti siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang yang lain.