Dr. Joachim Gunsalam
KOTA KINABALU: Sabah, menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID), akan menyertai World Expo Dubai 2020 di Emiriah Arab Bersatu pada penghujung tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam yang memaklumkan ini berkata, 11 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) Sabah telah terpilih untuk mempromosikan produk Sabah semasa Expo Dubai tersebut.
“Kerajaan Negeri mensasarkan tempahan sebanyak RM25 juta semasa expo tersebut,” katanya semasa merasmikan pelancaran Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) tahun 2020/2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sini hari ini.
Dr. Joachim juga berkata di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), MID akan mempastikan infrastruktur di taman-taman perindustrian dipertingkatkan dan sentiasa bersedia untuk menerima pelabur.
“Pelan pembangunan SMJ ini akan pasti membawa pelaburan dari luar dan dalam negeri ke Sabah.
“Peningkatan kemasukan pelaburan berupaya melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri Sabah dan seterusnya merealisasikan Sabah sebagai sebuah negeri perindustrian yang maju jaya,” katanya.
Katanya, MID juga menyokong penuh inisiatif Pelan SMJ yang dirangka bagi mengoptimumkan sumber dan hasil negeri, merangsang pemulihan ekonomi dan meningkatkan ekonomi rakyat.