Hazani Ghazali
KOTA KINABALU: Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai membawa 15 pendatang tanpa izin (PTI) menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda (4WD) milik kerajaan untuk melepasi sekatan jalan raya (SJR) di Tawau, baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan tiga suspek terbabit berumur 39, 40 dan 49 tahun, dilaporkan melepasi tanpa berhenti di tiga sekatan jalan raya di sepanjang Jalan Kunak- Tawau.
“Polis bertugas di SJR KM38 Jalan Kunak-Lahad Datu melihat beberapa barangan dipercayai beg pakaian diletakkan di belakang kenderaan tersebut dan mengarahkan mereka berhenti tetapi suspek tidak mengendahkan arahan itu.
“Ketiga-tiga suspek yang menggunakan dua kenderaan kerajaan melepasi dua lagi sekatan jalan raya menuju ke arah Tawau di mana mereka akhirnya dikesan sebelum ditangkap.
“Mereka dipercayai membawa 15 pendatang tanpa izin dari Lahad Datu ke satu destinasi di Tawau,” katanya kelmarin.
Hazani berkata siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Sabarudin Rahmat berkata tiga suspek itu didapati beralamat di Kunak.
Dalam kejadian bermula kira-kira jam 8 malam 13 Julai lalu, sepasukan anggota keselamatan yang bertugas di SJR KM38 Jalan Kunak-Lahad Datu cuba menahan dua kenderaan pacuan empat roda dipercayai milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang datang dari arah Lahad Datu menuju ke Kunak kerana dipandu dalam keadaan laju.
“Apabila diarahkan berhenti, pemandunya terus melepasi SJR berkenaan,” katanya, menambah pada masa yang sama, pasukan keselamatan melihat beberapa barangan dipercayai beg pakaian diletakkan di belakang kenderaan 4WD tersebut.
“Polis bertugas kemudian menghubungi petugas SJR seterusnya di KM16 Jalan Kunak-Tawau (berhampiran Ladang Giram) untuk menahan kenderaan yang dipandu suspek tetapi pemandu kenderaan terbabit tidak juga berhenti sebaliknya meneruskan perjalanan ke arah Tawau.
“Pihak kami mencurigai kelakuan pemandu berkenaan yang memandu laju dan enggan berhenti di SJR sekali gus mengesyaki dia mungkin melakukan kesalahan,” katanya.
Suspek juga sekali lagi gagal memberhentikan kenderaan di SJR ketiga di KM50 Checkpoint Tawau semasa diarahkan berhenti, sebaliknya terus memecut laju ke arah Tawau.
Menurut Sabarudin, anggota SJR KM50 di Tawau kemudian mendapatkan bantuan Balai Polis Sri Indah untuk menjejaki kenderaan berkenaan.
Hasil maklumat tersebut, katanya, polis berjaya menahan suspek bersama kenderaan terbabit di kawasan Balung, Jalan Apas di Tawau dan dibawa ke Balai Polis Sri Indah untuk tindakan lanjut.
“Ketiga-tiga suspek mengaku membawa 15 penumpang iaitu sembilan wanita dan enam lelaki dari Batu 13 di Lahad Datu untuk dihantar ke Bulatan Jalan Sg Burung di Tawau.
“Bagaimanapun, semasa ditangkap, hanya tiga suspek berada dalam kenderaan manakala kesemua penumpang sudah menghilangkan diri,” katanya, menambah kesemua penumpang itu dipercayai PTI.
Sabarudin berkata suspek ditangkap kerana menghalang tugas penjawat awam. -DE