KOTA KINABALU: Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes penipuan pembelian kad kredit secara dalam talian berjumlah hampir RM15,000 yang dilaporkan pada 1 Disember tahun lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah Superintendan G Moses Govindarajoo berkata laporan yang diterima daripada seorang wanita berumur 33 tahun itu sedang disiasat.
Beliau berkata, laporan itu menyatakan bahawa enam transaksi pembelian dalam talian dilakukan menggunakan kad kredit milik wanita itu berjumlah sehingga RM14,580 dan wanita itu menafikan ada melakkan transaksi tersebut.
“Mangsa pada mulanya membuat laporan polis tersebut untuk semakan lanjut dengan pihak bank dan salah satu platform e-dagang.
“Pihak JSJK Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis sehingga kini,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Difahamkan bahawa wanita itu membuat laporan polis pada Disember lalu, bagaimanapun, sehingga kini wanita itu mendakwa dia masih menunggu sebarang perkembangan daripada pihak berkuasa berhubung kes berkenaan.
Mangsa akhirnya meminta bantuan daripada Adun Luyang, Phoong Jin Zhe untuk mendedahkan perkara berkenaan dan mendesak Bank Negara (BNM) serta agensi penguatkuasa lain untuk mengambil tindakan segera. – DE