Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Pematuhan pada prosedur operasi standard (SOP) yang lemah disyaki sebagai punca kepada Kluster Sawit Lung – Beluran yang melibatkan jangkitan dalam ladang.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks bagi kluster ini adalah lelaki, bukan warganegara, 35, bergejala sejak 12 Julai 2021, sebelum disahkan positif RTK-Ag dengan grading 80 peratus dalam saringan masuk ke ladang pada 14 Julai 2021.
Pada hari yang sama, karanya tiga lagi kes positif dengan kaitan epidemiologi di tempat kerja.
“Daripada 40 kontak yang disaring, 11 kontak dikesan positif melibatkan rakan sekerja dan ahli keluarga sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 15 kes.,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media kelmarin.
Aktiviti siasatan dan kawalan masih lagi diteruskan, tambahnya.
Katanya, satu lagi kluster baharu hari ini ialah Kluster Industri KKIP Selatan – Kota Kinabalu, Tuaran yang berlaku di sebuah kilang plastik di kawasan perindustrian Kota Kinabalu.
“Kes indeks adalah operator kilang, lelaki, 20, disahkan positif Covid-19 melalui ujian RTK-Ag dengan grading 97% di Family Care Clinic Sepanggar pada 12 Julai 2021, selepas bergejala pada 09 Julai 2021.
“Kes indeks telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, daripada 45 sampel dalam kalangan kontak rapat yang diambil di daerah Kota Kinabalu, lapan kes telah dikesan positif termasuk enam kes baharu pada kelmarin.
Manakala 32 sampel negatif dan lima kes masih menunggu keputusan ujian saringan.
Selain itu, katanya empat lagi kes dengan kaitan epidemiologi juga telah didaftarkan di daerah Tuaran, menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 12 kes.
Pada keseluruhannya, Sabah merekodkan 474 kes positif baharu Covid-19 kelmarin, iaitu penurunan 183 kes berbanding 657 kes pada 20 Julai 2021.
Masidi berkata, penurunan ini banyak dipengaruhi oleh ketiadaan kes positif baharu dari kluster penjara, kecuali lapan kes dari Penjara Tawau.
“Penyumbang utama kes hari ini adalah dari Saringan Kontak Rapat iaitu sebanyak 227 kes atau 47.9% dari kumulatif harian Negeri Sabah, diikuti dengan 71 kes atau 14.9% dari Sarıngan Bergejala.
“Saringan Bersasar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mencatatkan 55 kes atau 11.6% dimana 38 kes dari jumlah itu direkodkan sebagai yang tertinggi di daerah Beaufort setakat ini,” katanya.
Dua kluster baharu menyumbang 3.6% dari jumlah kes kelmarin, katanya, sambil menambah kluster sedia ada menyumbang (65) kes atau 13.7%.
Menurutnya, 90.5% daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu 184 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 245 kes sekadar mengalami simptom ringan (mild).
“Kedua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).
“Bagaimanapun, satu kes kematian dilaporkan pada semalam iaitu di daerah Beaufort,” katanya lagi.
Katanya lagi, sebanyak 37 kompaun melanggar SOP Covid-19 telah dikeluarkan seluruh Sabah dengan melanggar pelbagai kesalahan.