Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Seorang wanita mendapatkan bantuan Parti Tindakan Demokratik (DAP) selepas dakwaannya mengalami kerugian hampir RM15,000 akibat penipuan dalam talian masih tidak selesai walaupun sudah melaporkannya kepada pihak berkuasa berkaitan lebih enam bulan lalu.
Dalam satu kenyataan di sini, Selasa, Adun DAP Luyang merangkap Ketua Pemuda Sosialis DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata wanita itu, Lee, mendakwa pihak berkuasa belum memberinya sebarang perkembangan mengenai perkara itu.
“Lee datang menemui saya untuk meminta bantuan kerana risau tidak mendapat sebarang perkembangan kesnya selepas enam bulan menunggu,” katanya.
Difahamkan bahawa wanita berumur 33 tahun itu dihubungi oleh sebuah bank pada 28 November tahun lepas yang memaklumkan terdapat enam transaksi luar biasa dalam akaunnya.
“Transaksi itu dilakukan tanpa mendapat persetujuan saya di Shopee. Lima transaksi membabitkan pengeluaran RM2,700 setiap satu, satu transaksi sebanyak RM1,080, dengan jumlah keseluruhan RM14,580 dipindahkan (dari akaun saya),” katanya dalam kenyataan.
Beliau membuat laporan polis dan bank kemudiannya membekukan akaunnya kerana kes itu masih dalam siasatan.
Lee berkata, aduan rasmi juga dibuat kepada Shopee.
Namun, lebih enam bulan berlalu, wanita itu masih menunggu perkembangan membabitkan kesnya daripada pihak berkuasa berkaitan.
Katanya, rayuan kepada Shopee berhubung perkara itu tidak berjaya kerana platform beli-belah dalam talian itu menganggap ia adalah transaksi sah.
“Saya berharap orang ramai mengambil iktibar dan berjaga-jaga terhadap insiden serupa.
“Saya tidak pernah mendaftarkan kad saya dengan platform itu dan saya tidak menerima sebarang kata laluan sekali guna (OTP) daripada bank.
“Tidak adil bagi saya terus membayar kadar faedah untuk bayaran (yang saya tidak lakukan),” kata Lee.
Sementara itu, Phoong berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera berhubung kes terbabit dan menghubunginya mengenai perkembangan siasatan, daripada membuatnya menunggu saja.
“Sekarang sudah enam bulan sejak dia membuat laporan dan dia semakin gelisah. Kelembapan ekonomi sudah cukup perit bagi semua orang dan sekarang ini pula. Saya berharap pihak berkuasa akan meneliti perkara ini,” katanya.
Beliau juga berharap bank tersebut akan mempertimbang untuk menangguhkan sementara bayaran faedah dan berharap Shopee akan meneliti perkara itu.
“Kerajaan perlu memperkenalkan inisiatif untuk melindungi orang awam daripada penipuan sedemikian kelak kerana terdapat peningkatan kes sama ketika pandemik.
“Jika wang seseorang yang tidak bersalah yang dapat dicuri dengan menyimpannya dalam bank seperti itu, ia tidak adil! Ia tidak dapat diterima dan pihak berkuasa mesti mengambil tindakan,” kata Phoong. – DE