Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Selepas empat hari berada di atas paras 600, kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini menurun ke 474.
Ini dinyatakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam ciapan di Twitternya sebentar tadi.
Katanya, hanya lapan kes baharu daripada penjara di Tawau manakala di Kota Kinabalu sebanyak 128 kes baharu yang kebanyakkannya kontak rapat.
“Beaufort terus mencatatkan kes yang tinggi dengan 76 kes baharu hari ini, manakala Penampang merekodkan 45 kes baharu, Tawau dengan 36 kes baharu, Keningau dengan 24 kes, Ranau dengan 22 kes, Tuaran dan Sipitang masing-masing dengan 19 kes, dan Putatan, 18 kes,” katanya.
Penurunan 183 kes pada hari ini banyak dipengaruhi oleh ketiadaan kes positif baharu dari kluster penjara, kecuali 8 kes dari Penjara Tawau.
Penyumbang utama kes hari ini adalah dari saringan kontak rapat 227 kes (47.9%), diikuti 71 kes (14.9%) dari sarıngan bergejala.
Saringan bersasar dari kawasan PKPD mencatatkan 55 kes (11.6%) di mana 38 kes dari jumlah itu direkodkan tertinggi di daerah Beaufort.
Dua kluster baharu juga dilaporkan hari ini iaitu Kluster Sawit Lung di Beluran (11 kes) dan kluster Industri KKIP Selatan Kota Kinabalu (6) menyumbang 3.6% dari jumlah kes hari ini. Kluster sedia ada menyumbang 65 kes (13.7%).
Sebanyak 90.5% daripada kes-kes hari ini adalah dalam kategori 1 & 2. Kategori 1 (184) adalah mereka yg tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 (245), sekadar mengalami simptom ringan (mild). Kedua kategori pesakit tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah).