Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan satu kluster baharu hari ini iaitu Kluster Kampung Pukak, Tuaran yang disyaki berpunca daripada majlis kenduri kesyukuran pada 03 Julai 2021 yang dihadiri oleh keluarga terdekat di kampung tersebut.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kes indeks merupakan lelaki, 47, bergejala demam, batuk dan selsema sejak 07 Julai 2021,
sebelum disahkan positif RTK-Ag 100% pada 09 Julai 2021.
“Daripada 55 kontak rapat yang disaring, 16 kes dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster ini sebanyak 17 kes termasuk sembilan kes baharu hari ini,” katanya.
Saringan melibatkan kontak rapat dari Kg Pukak, Kg Pinagon dan Kuarters Loji Air Telibong, tambahnya dalam kenyataan media hari ini.
Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata, Sabah merekodkan sebanyak 657 kes positif baharu hari ini dengan dua kes kematian dilaporkan di daerah Kota Belud dan Tawau.
Katanya, daripada keseluruhan jumlah kes pada hari ini, sebanyak 317 kes adalah daripada Saringan Kluster yang didominasi oleh “kluster penjara” iaitu sebanyak 245 kes atau 37.3% daripada kumulatif kes harian.
“Di Kota Kinabalu, 131 kes atau 53% daripada kes baharu adalah daripada Kluster Tembok Kota Kinabalu (Penjara Kepayan) dan bagi Tawau, 114 kes atau 84% daripada kes baharu
adalah Kluster Tembok Tawau Dua (Penjara Tawau).
“Turut menyumbang kepada jumlah kes juga adalah daripada Saringan Kontak Rapat iaitu sebanyak 199 kes atau 30.3%. Kedua-dua saringan ini iaitu Saringan Kluster dan Saringan Kontak Rapat membawa kepada 78.5% atau 516 kes daripada kumulatif harian,” katanya.
Beliau berkata, antara penyumbang baharu kes positif Covid-19 hari ini ialah kluster Kampung Pukak, Tuaran yang merupakan kluster komuniti.