Serah…… Dr. Bonaventure (tiga, kiri) menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penerima bantuan sambil diperhatikan oleh Jahid (tengah).
TUARAN: Sebanyak 400 bakul makanan telah berjaya dikumpul dan diagihkan kepada penduduk yang memerlukan di 37 buah kampung di daerah kecil Tamparuli dan Tenghilan di sini.
Ia dijayakan menerusi program yang dianjurkan oleh Komuniti Mitatabang dan Kelab Kebajikan Raisul.
Sumbangan bakul makanan tersebut diagihkan kepada warga emas, ibu tunggal dan warga sakit yang dikenalpasti.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim yang hadir dan menyaksikan majlis penyerahan sumbangan bakul makanan tersebut di Dewan Kelab Rekreasi Tamparuli kelmarin, merakamkan penghargaan kepada kedua badan bukan kerajaan (NGO) itu di atas sumbangan tersebut.
Beliau juga menyeru agar lebih ramai lagi NGO lain akan turut tampil untuk membantu mereka yang terkesan oleh pandemik Covid-19.
Sementara itu, Presiden Mitatabang Komuniti, Prof. Madya Dr. Bonaventure Boniface mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang individu mahupun syarikat persendirian yang telah membantu menjayakan program tersebut.
Pengerusi Kelab Kebajikan Raisul, As Salam berkata, walaupun perancangan untuk mengumpul bantuan makanan ini dibuat pada masa singkat sambutan yang diterima amat menggalakkan.