Mazlan Joehari Manan
KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat diminta memberikan perhatian sama seperti negeri-negeri lain dalam soal pemberian vaksin berikutan Sabah antara negeri yang mencatatkan bilangan yang rendah berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).
Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah (MBS), Mazlan Joehari Manan berkata, statistik tersebut menunjukkan Sabah seolah-olah tidak diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Justeru, beliau menyeru kepada Kerajaan Persekutuan supaya menyegerakan penghantaran vaksin ke Sabah bagi memastikan rakyat di negeri itu mendapat suntikan vaksin mengikut temujanji masing-masing sekaligus mengelak daripada berlakunya penjadualan semula.
“Mengikut statistik JKJAV terkini (19 Julai), Sabah adalah negeri yang paling rendah mendapatkan suntikan vaksin bagi kedua-dua dos.
“Justeru kita menyeru supaya Kerajaan Persekutuan mencari jalan untuk menyegerakan penghantaran vaksin ke Sabah bagi memastikan ramai rakyat di negeri ini mendapat vaksin sekaligus mempercepat usaha mencapai imuniti kelompok, ” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Disamping mempercepatkan penghantaran vaksin ke Sabah, Mazlan turut menyarankan pihak terlibat supaya melipatgandakan usaha pemberian vaksin di negeri ini agar sasaran imunisasi dapat dicapai.
Jelas beliau, usaha ini penting bagi memastikan bukan sahaja Sabah dapat mencapai sasaran imuniti kelompok tetapi juga melindungi diri daripada risiko jangkitan Covid-19 yang lebih berbahaya ekoran penemuan varian-varian baharu di negara ini.
“Kita perlu mempercepatkan pemberian imunisasi ini kerana terdapat varian Covid-19 yang baharu yang lebih mudah menular.
“Justeru, Kerajaan perlu meletakkan fokus untuk menghantar vaksin ke Sabah bagi memastikan penularan pandemik ini dapat dikawal, ” katanya.