Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Terdapat dua kluster baharu, kelmarin termasuk Kluster Pauh – Kinabatangan yang merupakan kluster dalam kategori komuniti dan berlaku di Kampung Pauh Mukim Buang Sayang, Kinabatangan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks merupakan lelaki warganegara Indonesia, 21, pekerja ladang (penyabit) di sebuah ladang sawit persendirian.
Selain itu katanya, Kluster Angsana – Papar melibatkan penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti di daerah Papar.
Menurutnya, kluster ini mula dikesan apabila pesakit buah pinggang, wanita, 66, yang menjalani rawatan di unit dialisis swasta di Jalan Lintas, Kepayan tiga kali seminggu, disahkan positif dalam saringan bergejala pada 10 Julai 2021.
Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata dua kes kematian disebabkan Covid-19 juga dilaporkan hari ini, sementara jumlah keseluruhan kes positif baharu adalah sebanyak 651 kes.
Katanya, sebanyak 372 kes atau 57.14% daripada jumlah kes hari ini adalah daripada Saringan Kluster dengan pecahan sebanyak 17 kluster dengan dominasi masih lagi “kluster penjara” iaitu sebanyak 172 kes atau 25.83% daripada kumulatif kes harian.
“Antara penyumbang baharu kes positif Covid-19 hari ini juga ialah Kluster Pauh yang telah diisytiharkan di Kampung Pauh, Mukim Buang Sayang Kinabatangan yang telah menyumbang 20 kes.
“Turut menyumbang ialah Kluster Angsana yang melibatkan tujuh kes yang terdapat di beberapa lokaliti di daerah Papar dan merupakan satu kluster komuniti,” katanya pada Kenyataan media hari ini.
Menurutnya, sebanyak 264 kes atau 39.6% pesakit (positif) berada dalam Kategori/Tahap 1 (tidak bergejala) dan 27.6% (184) dalam Kategori/Tahap 2 (bergejala tanpa radang paru-paru).
Hanya dua pesakit berada dalam Kategori/Tahap 3 dan satu orang dalam Kategori (5). Seramai 200 pesakit atau 30% masih menunggu penilaian kategori/tahap pengkelasan mereka.