Kota Kinabalu: Aspek rangkaian pemasaran strategik yang luas menjadi rahsia kejayaan produk Kuih Cincin Lembut Karambunai bertahan dalam situasi ekonomi tidak menetu akibat pandemik Covid-19 ketika ini.
Malah, permintaan terhadap kuih tradisional dihasilkan seorang Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Dayang Sufiah Sainih, 41, itu tetap berterusan di kala ramai usahawan sepertinya terjejas teruk.
Paling menarik, ibu kepada empat orang anak ini mampu meraih pendapatan sehingga lima angka sebulan sehingga kini hasil daripada perniagaan produk yang telah dipasarkan ke seluruh negara termasuk Brunei Darussalam.
Dayang berkata, rahsia kejayaan beliau mudah iaitu pengurusan yang sistematik dan tersusun membabitkan jalinan dengan ramai agen yang mempunyai pasaran tersendiri.
Katanya, aspek kedua adalah peruncitan terus kepada pemborong untuk diedarkan ke premis-premis atau kiosk di seluruh negara sekaligus menjadikan beliau sebagai pembekal utama.
“Harga kompetitif termasuk penjagaan kualiti juga memainkan peranan namun paling penting usaha dan tawakal kepada Allah serta banyakkan bersedekah kepada golongan tidak berkemampuan.
“Ini adalah antara rahsia bagaimana jualan produk Kuih Cincin Lembut Karambunai ini masih bertahan walaupun kita pada masa ini dalam situasi ekonomi tidak menentu akibat Covid-19.
“Alhamdulilah, sehingga kini produk kuih tradisional ini masih dapat permintaan hingga mencapai lebih 6,000 paket sebulan dengan hasil jualan RM40,000 setiap bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa tinjauan bersama Pengurus AIM Wilayah Sabah, Jahinin Siman di kilang milik beliau di Kampung Numbak, Karambunai, di sini, pada Isnin.
Mengimbas kembali usaha awalnya, Dayang berkata, beliau memulakan perniagaan itu pada tahun 2008 sebelum menyertai AIM pada 2009 dengan pinjaman awal RM1,000 untuk mengembangkan perniagaannya.
Melalui pembiayaan itu katanya, beliau meneruskan usaha dengan pemasaran jualan permulaan hanya di kalangan teman-teman dan keluarga termasuk kedai-kedai runcit berdekatan.
“Bermula dari situ, perniagaan itu berkembang sehingga ke hari ini melalui pengurusan yang sistematik dan strategik termasuk bantuan daripada AIM sendiri melibatkan pemasaran dan kursus keusahawanan.
“Operasi pengilangan buat masa ini di rumah saya dengan dibantu empat orang pekerja tetap dan saya bercadang mengembangkan lagi perniagaan ini melibatkan operasi lebih besar di masa depan.
“Modal lebih besar diperlukan bagi memenuhi keperluan kilang lebih luas dan penambahan pekerja yang saya difahamkan AIM sedia membantu untuk realisasikannya memandangkan saya tidak pernah dibantu mana-mana agensi selain AIM selama ini,” katanya.
Ketika ditanya apa keistimewaan Kuih Cincin Lembut keluarannya berbanding produk sama yang lain, Dayang berkata, produk beliau mempunyai kualiti tersendiri dari segi ketahanan dan rasa.
Menurutnya, produknya mampu bertahan sehingga enam bulan hasil daripada resipi keluarga turun temurun dan beliau juga masih mengekalkan proses pembuatan secara tradisional bagi mengekalkan rasa asli kuih cincin lembut.
“Pembuatan kuih ini masih cara lama tanpa bantuan mesin dari mula pembuatan doh hingga ke proses memasak.
Semuanya masih tradisional termasuk bahan-bahan di dalamnya yang menjadikan kuih ini sedap dan tahan lama.
“Malah, kita boleh goreng semula kuih ini jika ada di antara pengguna yang mahu kelainan antaranya mahu lebih garing dan sebagainya.Ini menjadi antara mengapa produk ini istimewa,” katanya. – DE