TAWAU: Dianggarkan 56 rumah musnah dalam kebakaran di Kg Titingan sekitar jam 9.30 pagi pada Isnin, ketika penduduk beragama Islam di sana sibuk membuat persiapan terakhir untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.
Kebakaran yang bermula dari sebuah rumah itu merebak sehingga memusnahkan tiga blok kediaman penduduk iaitu di Blok 9, 10 dan 11.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tawau, Sukur Hatta, berkata dua jentera bersama 50 anggota dan pegawai bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 pada jam 9.33 pagi.
Menurutnya, api sedang marak dan telah memusnahkan sebahagian rumah penduduk ketika pasukannya tiba di lokasi dan orang kampung juga kelihatan berusaha membantu memadam kebakaran dan menyelamatkan harta benda.
“Pasukan kami dapat mengawal api dari merebak pada jam 10.55 pagi dan menyelamatkan kira-kira 300 rumah berhampiran di kawasan itu,” katanya di lokasi.
Dalam operasi itu, katanya, pihaknya dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela yang melibatkan 40 keanggotaan, selain bantuan penduduk kampung.
Sukur berkata, dalam operasi ini, pihaknya berdepan kesukaran memadam api berikutan kedudukan rumah yang dibina terlalu rapat antara satu sama lain.
“Cuaca panas dan berangin juga turut menyebabkan api merebak dengan cepat sehingga memusnahkan lebih banyak kediaman yang majoriti adalah struktur separa kekal,” katanya.
Tambahnya, tiada sebarang laporan kecederaan ataupun kemalangan jiwa dalam insiden itu, manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.20 petang.
Sementara itu, bunyi letupan yang kuat mengejutkan dua beradik yang berada di dapur rumah, sebelum mendapati berlaku kebakaran di hadapan rumah mereka.
Rusjatimah Saprin, 46, berkata sebelum kejadian, dia mahu memasak air manakala kakaknya sedang merebus buras, sejenis makanan Bugis, untuk hidangan Hari Raya Aidiladha hari ini, dan pada ketika itu keadaan sunyi.
“Tiba-tiba kami dikejutkan bunyi letupan kuat seperti dari tong gas memasak, saya buka pintu dapur dan tengok ruang tamu rumah jiran terbakar, saya dengar jeritan jiran meminta tolong.
“Melihat api marak itu saya berteriak banyak kali memberitahu ‘api’ dan meminta kakak serta tiga lagi anak-anak yang ketika itu di ruang tamu untuk segera berlari keluar rumah, saya pula sempat menyelamatkan sebahagian dokumen diri,” katanya kepada Bernama di sini kelmarin.
Rumah beliau merupakan antara kira-kira 50 rumah yang musnah dalam insiden itu.
Rusjatimah berkata, rumah pusaka berusia lebih 40 tahun itu menyimpan banyak memori keluarga dan menjadi tempat berkumpul terutama pada hari raya.
“Ujian ini berat, namun saya reda dan bersyukur kerana nyawa masih panjang, mungkin kami menumpang tinggal bersama anak saudara,” katanya dan menambah kejadian berlaku dalam sekelip mata dan dia tidak sempat menyelamatkan barangan lain.
Bagi Nurin Raub, 65, pula ketika kejadian dia berada di dalam bilik dan tiba-tiba cucu perempuannya Kasma Samad,12, memberitahu ada kebakaran.
“Saya terkejut dan sempat ambil dokumen diri sebelum cucu tarik tangan berlari keluar rumah, terasa bahang panas pada waktu itu dengan kepulan asap tebal,” katanya yang menduduki rumah berkenaan lebih 30 tahun.
Katanya, beliau tidak menyangka bencana seumpama itu menimpa dirinya serta Kasma, dan merancang tinggal menumpang dengan anaknya di Ranggu di sini, selepas suami meninggal dunia pada awal tahun ini.
Sementara itu Remie Saprin, 64, pula tidak menyangka rumah pusaka didiami bersama 10 ahli keluarga lain, musnah dalam kebakaran itu.
“Saya keluar jam 7.15 pagi hantar anak pegi klinik, dan lepas itu pergi ke pasar beli pisang dan ambil buras, tidak sangka sampai saja di kampung, saya nampak kepulan asap tebal dan api marak, waktu ini saya berharap rumah tidak terbakar tetapi terkena juga,” katanya merancang tinggal di rumah anak di Batu 8 di sini.
Beliau dalam pada itu berharap kerajaan memberi bantuan segera kepada semua mangsa kebakaran.
Tinjauan Bernama setakat 3 petang Isnin mendapati, sebanyak 86 ketua keluarga mendaftar di pusat pemindahan sementara Balai Raya Kampung Titingan, yang dibuka untuk mangsa kebakaran. – DE