Fredie Sua (tengah) bersama pasukan Sukarelawan di Pusat Vaksinasi Penampang, Dewan Kebudayaan Penampang.
PENAMPANG: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Bahagian Moyog, Penampang telah mengambil inisiatif turun padang untuk menghulurkan bantuan tenaga dan sumbangan kepada komuniti masyarakat di sekitar daerah ini yang terkesan oleh pandemik Covid-19.
Kwtua Bahagiannya, Dato’ Fredie Sua,berkata mereka akan berusaha untuk membantu sedaya upaya yang boleh untuk membantu golongan masyarakat yang terkesan khasnya di daerah Penampang.
Katanya, usaha tersebut yang dipanggil Program Jalinan Kasih dan Kemasyarakatan bertujuan untuk menjalinkan hubungan rapat dengan masyarakat yang memerlukan bantuan dengan kadar segera bagi menghadapi saat getir yang menimpa mereka.
Di sepanjang bulan Mei, katanya PBRS Bahagian Moyog sempat menziarahi dan menghantar sumbangan kepada warga emas yang uzur, pesakit kanser, strok, pesakit buah pinggang dan kanak-kanak OKU di beberapa kampung seperti Kg. Kolopis, Kg. Kipouvo, Kg. Madsiang, Kg. Babah, Kg. Kurai dan Kg. Mahandoi, Penampang.
Pada bulan lalu pula, mereka telah menghantar sumbangan Krisis berbentuk makanan dan minuman segera kepada para Sukarelawan yang bertugas di Pusat Vaksinasi Penampang, Dewan Kebudayaan Penampang.
Selain dari itu, Fredie berkata mereka juga telah menjalankan aktiviti gotong royong membantu membersihkan kawasan rumah mangsa banjir kilat di Kg. Hubah, Penampang.
“Pandemik Covid-19 telah menjejaskan ramai orang dan banjir kilat telah menambah lagi kesan buruk kepada kehidupan mereka. Oleh itu, kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban mangsa pandemik dan banjir yang mana rezeki mereka turut terjejas akibat bencana itu,” kata Fredie.