Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan sedang menangani masalah komunikasi digital di Sabah dengan menaiktarafkan lebih 2.000 menara telekomunikasi dan membina 400 yang baharu di bawah Pelan Jaringan Digital Negara (Jendela), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Berucap di Majlis sambutan Hari Guru Peringkat Negeri hari ini, beliau berkata pandemik Covid-19 menjadikannya lebih mencabar bagi guru untuk melaksanakan tugas mereka yang kini tidak lagi terhad di bilik darjah.
“Pandemik telah mengubah teknik dan kaedah pengajaran secara drastik,” katanya, sambil menambahkan bahawa pengajaran dan pembelajaran kini tidak lagi dilakukan secara bersemuka seperti dahulu, sebaliknya platform pembelajaran digital telah menjadi kaedah pengajaran yang dominan.
Penggunaan aplikasi seperti Google Classroom dan Zoom selain WhatsApp serta Telegram untuk mengadakan pengajaran dalam talian adalah kaedah pengajaran baharu, terutamanya bagi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di era pandemik ini.
“Kerajaan memahami cabaran yang dihadapi oleh guru dalam mengadakan kelas dalam talian,” katanya.
Ketua Menteri berkata kreativiti guru dalam memastikan pelajaran dapat sampai kepada semua pelajar, terutama mereka yang tidak mempunyai akses internet juga dihargai, memandangkan keadaan topografi negeri ini yang memberikan cabaran dalam memastikan akses internet yang lebih baik.
“Saya dimaklumkan ada guru yang terpaksa berjalan kaki sejauh berbatu-batu untuk menyampaikan bahan pembelajaran kepada pelajar mereka sementara sekolah juga melaksanakan pelbagai cara untuk memastikan anak-anak sekolah tidak ketinggalan dari pelajaran mereka. Untuk ini saya mengucapkan terima kasih, ”katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan juga sentiasa menghargai dan menyokong usaha meningkatkan profesion keguruan.
“Saya menyeru masyarakat Sabah untuk terus menghormati guru kerana di era siber ini kita sering mendengar banyak tuduhan tidak berasas terhadap profesion perguruan. Walaupun pada hakikatnya, sukar bagi kita untuk membayar balik jasa dan sumbangan guru,” katanya.
Hajiji memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan pendidikan di Sabah dengan teliti menerusi agensi-agensi yang berkaitan dan menyokong semua inisiatif yang telah dirancang untuk meningkatkan pencapaian akademik di negeri ini.
Sempena sambutan yang diadakan secara maya, Hari Guru Sabah 2021 juga memberi penghargaan kepada guru atas kecemerlangan yang dicapai.
Anugerah Kepimpinan Pendidikan tahun ini diberikan kepada mantan Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Hajah Maimunah Suhaibul, sementara anugerah Tokoh Guru diberikan kepada Dr Shirley Tay Siew Hong.