Velvet Aduk
KOTA KINABALU: Sektor hiburan sebenarnya memainkan peranan yang sama penting di masa pandemik Covid-19 ini dengan membantu mereka yang terkesan menerusi hiburan, walaupun ramai yang mungkin memperlekehkan dan menganggap sektor ini tidak penting, kata Velvet Aduk.
Penyanyi dan penyampai stesen radio Sabah Kupi-Kupi FM ini berkata, jika dilihat dalam skala yang besar sebenarnya ramai orang yang memerlukan musik atau hiburan agar dapat melalui keadaan sukar di masa pandemik ini.
Ini terutama sekali di kala seseorang itu bersendirian dan berada jauh daripada keluarga, katanya kepada WO.
Menurut Velvet, ramai artis hilang punca pendapatan akibat Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ia telah berlanjutan selama dua tahun, dan ramai (artis) yang terpaksa buat kerja baharu untuk meneruskan kehidupan di masa sukar sebegini.
“Dan bantuan daripada pibak berkuasa sedikit hingga tidak ada … ini menjadikan keadaan lebih teruk bagi para karyawan dan orang orang seni,” luahnya.

Ditanya mengenai perkembangannya di masa PKP ini, penyanyi lagu popular ‘Sumandak Sabah’, ‘Insan Tadau’ dan terbaru ‘Tiga Kali Satu Hari’ ini berkata dia masih bekerja sebagai penyampai radio.
“Namun, dari segi pembahagian masa, saya rasa lebih mencabar sekarang terutama sekali dengan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di mana kita perlu bersama untuk membimbing anak-anak sepanjang masa pembelajaran.
“Saya rasa ini satu cabaran baharu bagi semua ibubapa.
“Kalau bab pembahagian masa untuk jadi seorang isteri, ibu, penyampai, dan artis, lama kelamaan ia akan jadi senang. Ia ibarat macam kau sedang buat kerja sepenuh masa, dan banyak kerja-kerja part time yang lain,” jelas Velvet, isteri kepada Rich Gimbang penyanyi kumpulan rock alternatif Estranged.
Bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) Musim Keempat ini berkata dia juga masih menunggu gilirannya untuk divaksinasi.
“Bagi saya, untuk mencapai herd imunity (imuniti kelompok), ia (suntikan vaksin) bagus,” katanya.
Sementara itu, Velvet berkata lagu ‘Tiga Kali Satu Hari’ yang ketika ini sering dimainkan terutamanya di Kupi-Kupi FM adalah berdasarkan apa yang dilalui oleh semua orang pada ketika ini.
“Ketika ini saya rasa semua orang rindu pada keadaan di masa pra Covid-19.

“Dan bila saya menulis lagu ini, saya cuba untuk channel (salurkan) perasaan orang-orang yang berada jauh daripada keluarga, yang sudah lama tidak jumpa ibu bapa, yang sangat rindu mau ‘rumamai’ (berkumpul) bersama keluarga terutama bagi mereka yang berada di perantauan…jadi, dari sana lah tercipta lagu ‘Tiga Kali Satu Hari’,” jelasnya.
Ditanya tentang dirinya yang suka menyanyi berduet dengan Marsha Milan, Velvet berkata mereka berkawan memang suda lama.
“Marsha dan saya memang sangat rapat dan saya rasa kolaborasi kami pun tercetus dari ‘Sumandak Sabah’…so, macam, why not we try make another one (kenapa kita tidak cuba buat untuk satu lagu lagi) dan lepas itu satu lagi lagu duet kami muncul.
“Sebenarnya tahun ini, memang ada lagu yg kami rancang mahu keluarkan. Tetapi disebabkan oleh keadaan sekarang, sangat sangat susah untuk mahu make it happen (laksanakannya). Hopefully, keadaan akan bertambah normal tidak lama lagi,” katanya.
Bila ditanya, Velvet jelaskan dia tidak berminat untuk berlakon.
“Hehe, pernah berlakon “cameo” beberapa kali, tapi saya rasa, saya tidak ada bakat dalam bidang lakonan,” katanya.