Robert (depan tengah)dan rombongan semasa melawat hakisan sungai Pegalan yang menyebabkan jalan Kepayan Lama terputus.
KENINGAU:Masalah jalan di Kampung Kepayan Lama yang terputus akibat hakisan banjir Sungai Pegalan kelmarin akan dibawa dalam mesyuarat khas untuk tindakan lanjut.
Ini dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin selepas beliau melawat jalan tersebut kelmarin.
Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya berkata, hasil lawatan ini, tindakan susulan akan diambil.
“Saya akan membawa masalah ini ke mesyuarat khas bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menilai cadangan pembaikan jalan tersebut,” katanya.
Robert berkata, tindakan segera perlu diambil bagi mengatasi hakisan tebing itu kerana ia bukan sahaja mengakibatkan jalan putus tetapi berhampiran dengan rumah seorang penduduk Aloysius Malik.
Selepas melawat hakisan tebing itu Robert terus bergegas melawat Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa banjir dari Kampung Gasabon di Dewan Masyarakat Apin-Apin.
Turut sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM )N.40 Bingkor, Junior Fred, Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Bingkor, Tinus Majip, dan Pemaju Mukim Apin-Apin, Dennis Juakim.