Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memutuskan untuk tidak membenarkan aktiviti rumah terbuka, jamuan, kunjung mengunjung dan ziarah tanah perkuburan sempena Hari Raya Aidiladha kali ini.
Langkah memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) sempena Aidiladha ini berikutan peningkatan kes Covid-19 di Sabah semalam yang mencatatkan 647 kes positif.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk melakukan pindaan SOP yang dikeluarkan sebelum ini bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.
Beliau berkata, bilangan jemaah di masjid dan surau bagi melaksanakan solat sunat Aidiladha, solat jumaat dan solat lima waktu juga dikurangkan kepada satu pertiga daripada kapasiti ruang atau maksimum 30 orang jemaah, mana-mana yang lebih rendah.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sabah membenarkan solat sunat Aidiladha dengan kapasiti separuh daripada ruang dewan utama solat.
Bagi pengendali atau petugas sembelihan binatang korban, bilangan yang dibenarkan dikurangkan kepada 15 orang berbanding 20 orang seperti dinyatakan dalam SOP yang dikeluarkan pada 23 Jun lalu.
Malah, sebarang aktiviti perayaan Aidiladha di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan.
Jelas beliau, pindaan SOP ini adalah bersifat sementara sehingga kes-kes harian Covid-19 di negeri ini kembali stabil.
Semalam, Sabah mencatatkan 647 kes baharu positif Covid-19 dengan satu kes kematian dan satu kluster baharu.
Jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah setakat ini sebanyak 74,479 kes.