Gee Tien Siong
KOTA KINABALU: Dewan Masyarakat Luyang akan dijadikan tempat perlindungan bencana sementara bagi mangsa kebakaran kampung atas air Tanjung Aru awal pagi tadi.
Keputusan dicapai setelah perbincangan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, termasuk Unit Pembangunan Masyarakat Luyang (UPPM) dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menjadikan Dewan Komuniti Luyang sebagai tempat perlindungan sementara bagi mangsa kebakaran tersebut.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Luyang, Gee Tien Siong berkata, beliau dimaklumkan mangsa-mangsa kebakaran tersebut adalah rakyat Sabah.

Tempat perlindungan sementara, Dewan Komuniti Luyang
“Saya ingin memaklumkan kepada semua penduduk Luyang bahawa tidak ada yang perlu dikhuatirkan, kerana pengurusan ini telah dibincangkan dan dimaklumkan kepada semua pihak yang berkenaan.
“Anggota PDRM dan RELA akan ditugaskan di Dewan tersebut untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan serta menjaga ketenteraman awam, sementara DBKK akan memastikan kebersihan kawasan,” kata Gee yang juga Naib Presiden SAPP.
Beliau juga menegaskan bahawa keadaan tidak akan serupa seperti kejadian 13 Oktober 2019, di mana sekumpulan pendatang tanpa dokumen berkumpul di sekitar Dewan Masyarakat Luyang dan Wakil Rakyat Luyang, menteri, DBKK atau polis tidak menyedarinya.
Kejadian 2019 itu telah menimbulkan kejutan dan ketakutan di kalangan penduduk Luyang, tambahnya.