PETALING JAYA: Harapan tinggi untuk melihat pingat emas pertama dibawa pulang dari Sukan Olimpik mengiringi pemergian kontinjen terbesar Malaysia ke Tokyo 2020 yang dilepaskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
“Saya harap kali ini ialah kali yang pertama Malaysia akan membawa pingat emas yang pertama dan bagi mereka yang berjaya, insya-Allah ganjaran yang baik akan kita berikan kepada anda semua,” kata Perdana Menteri ketika menyempurnakan Lambaian Juara Demi Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Laporan Utusan Malaysia – Muhyiddin turut memberi kata-kata motivasi kepada skuad badminton, gimnastik, akuatik (renang, terjun) dan memanah sebelum mereka berlepas ke Tokyo untuk temasya sukan terbesar dunia bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Muhyiddin dalam ucapannya di hadapan 40 anggota kontinjen negara menaruh keyakinan tinggi kumpulan yang mewakili Malaysia dalam temasya itu adalah terbaik dan mampu menyinar.
“Saya menaruh keyakinan anda semua akan berjuang berhabis-habisan demi Malaysia tercinta untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mata dunia, untuk mengangkat martabat negara di pentas antarabangsa, dan membuktikan anak Malaysia mampu menjadi atlet terbaik dalam sukan masing-masing.
“Yang paling utama memastikan lagu keramat Negaraku berkumandang di venue pertandingan nanti,” katanya dengan penuh semangat.
Beliau juga berharap di bawah kepimpinanan Datuk Lee Chong Wei selaku ketua kontinjen, negara mampu membuahkan keputusan terbaik dalam sejarah penyertaan negara di sukan Olimpik kali ini.
“Apa yang saya dapat lihat keseluruhan kontinjen kita pada temasya kali ini yang seramai 30 atlet, 21 jurulatih dan 13 pegawai ini sebenarnya bukan sekadar 30 orang atau jumlah 64 orang, ia sebenarnya mencerminkan kekuatan 32 juta orang rakyat Malaysia keseluruhan.
“Justeru kesempatan ini saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada anda semua yang menjadi ‘The Beacon of Hopes’,” katanya.