Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 666 kes positif baharu Covid-19 pada hari ini, yang tertinggi setakat ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun ketika memaklumkan ini di Twitternya berkata hari ini juga boleh dipanggil “Hari Penjara”.
Karanya, ini kerana 50.3 peratus daripada kes di Sabah datang daripada dua penjara, iaitu Penjara Kapayan yang merekodkan 211 daripada 278 kes bagi Kota Kinabalu (76%) dan Penjara Tawau sebanyak 124 kes daripada 145 kes yg dilaporkan di Tawau (85.5%).
“Secara keseluruhan, 449 kes (67.4%) daripada 666 berlaku di kluster-kluster sedia ada yang sudah pun diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.
65.3 peratus (435 kes) semua pesakit positif berada dalam Kategori/Tahap 1 (tidak bergejala) dan 33.8 peratus (225) dalam Kategori/Tahap 2 (bergejala tanpa radang paru2).
“Ini bermakna 99 peratus mereka yang disahkan positif hari ini hanya perlu menjalani rawatan di PKRC (Pusat Kuarantin & Rawatan Covid) dan tidak perlu dimasukkan di hospital,” jelas Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Kelmarin, Sabah merekodkan 647 kes positif baharu.