KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah (SFD) dan Fakulti Perhutanan Tropika, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangunkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pemetaan kepadatan karbon atas-permukaan tanah di hutan Sabah untuk pembayaran insentif bagi projek karbon hutan REDD-Plus di Sabah.
Sesuai dengan SOP pandemik Covid-19 ketika ini, penandatanganan MoU dilakukan melalui penyelesaian digital demi menghormati semangat kerjasama yang penting pada waktu yang mencabar ini untuk membolehkan kita semua mencapai lebih banyak dan muncul lebih kuat lagi.
Tujuan utama MoU ini adalah untuk menilai penggunaan satelit penderian jauh (remote sensing) untuk pengukuran kepadatan karbon atas-tanah di hutan tropika Sabah. Kerja-kerja ini akan melibatkan penilaian komprehensif terhadap penggunaan pendekatan satelit penderiaan jauh berbanding pendekatan LiDAR di udara hutan tropika Sabah berdasarkan data lapangan sedia ada.
Ketua Konservator Hutan (CCF) Frederick Kugan menandatangani MoU tersebut di Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Sabah, Sandakan pada 25 Jun lalu dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Konservator Hutan (Penyelidikan & Pembangunan) Dr Robert Ong.
Manakala Naib Canselor UMS, Profesor Dr Taufiq Yap Yun Hin dan Pendaftar UMS Luqman Ridha Anwar, menandatangani MoU ini di UMS, Kota Kinabalu.
Majlis tandatangan MoU itu disaksikan oleh Ketua Bahagian Perancangan Sektor Hutan (FSP) merangkap Penyelaras Projek EU REDD+ Sabah, Rosila Anthony; Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Perhutanan Tropika UMS, Profesor Madya Dr Normah Awang Besar dan Timbalan Dekannya, Profesor Dr Phua Mui How.
Penandatanganan MoU itu juga untuk menyokong pembangunan Sistem Pemantauan, Pelaporan dan Pengesahan (MRV) Projek EU REDD-Plus. EU REDD-Plus adalah projek selama lapan tahun (2014-2021) yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah (EU), dengan objektif khusus untuk menyumbang kepada pembangunan karbon secara lestari dan rendah di Negeri Sabah dan ketika ini sedang mengusahakan tiga tapak demonstrasi di Kg Gana, Kota Marudu, Kinabatangan dan kawasan Kinabalu Ecolinc.
– DE