Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 326 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 73,832 kes.
Tiga kes kematian juga dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di daerah Kota Kinabalu, Kalabakan dan Semporna.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, terdapat satu kluster baharu iaitu Kluster Pekan Ranau, Ranau, melibatkan jangkitan yang disyaki bermula di sebuah klinik swasta sebelum menular kepada para pelanggannya.
“Kluster tempat kerja ini dikesan oleh klinik berkenaan melalui saringan bergejala apabila dua orang staf yang disahkan positif Covid-19 pada 10 Julai 2021, sekaligus menjadi kes indeks.
“Saringan terhadap 246 kontak seterusnya mendapati 13 lagi kes terbitan masing masing enam kes pada 13 Julai 2021, dua kes pada 14 Julai 2021 dan lima kes pada 15 Julai 2021,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata, kes itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 15 kes termasuk lima kes baharu hari ini. Manakala, tujuh kes masih menunggu keputusan.
Dalam pada itu katanya, faktor yang menjadikan Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi (123 kes) ialah sebanyak 42 kes berpunca daripada Saringan Kontak Rapat, dan 40 kes daripada Saringan Bersasar.
Selain itu katanya, 20 kes adalah daripada Saringan Kluster dengan pecahan Kluster Tembok Kota Kinabalu sebanyak 10 kes, Kluster Agora Borneo lapan kes dan Kluster Lorong Berjaya dua kes, 11 kes daripada Saringan Bergejala dan 10 kes daripada lain-lain saringan.