Hajiji (dua dari kanan) bersama dengan Chu (dua dari kiri),Ar Rizal (kanan) dan Sabah Law Society (SLS) Presiden, Roger Chin (kiri) semasa kunjungan hormat tersebut.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan cadangan penubuhan Majlis Profesional Sabah (SPC) untuk mewujudkan penyelarasan antara profesional dan Kerajaan Negeri dalam membangunkan strategi sejajar dengan aspirasi pelan pembangunan kerajaan iaitu Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, semua sektor pembangunan memerlukan sumbangan dan kepakaran profesional dalam pelbagai bidang.
Kerana itu tambahnya, majlis yang dicadangkan itu relevan dalam usaha mewujudkan sinergi idea dan usaha untuk memacu pembangunan Sabah.
Beliau berkata demikian semasa pertemuannya dengan jawatankuasa ad-hoc SPC yang diketuai Pengerusinya, Ar Rizal Ahmad Banjar di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini semalam.
Dalam pertemuan itu, Rizal turut memberi penerangan kepada Hajiji mengenai cadangan SPC dan menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri yang antara lain meminta agar golongan profesional di Sabah terlibat dalam hal inisiatif kerajaan untuk menghidupkan kembali pembangunan ekonomi dan sosial negeri.
Rizal berkata, menerusi SPC, golongan profesional ingin melibatkan diri dan membantu kerajaan serta agensi berkaitan dalam penyusunan dasar dan garis panduan.
Pada masa ini, Sabah mempunyai kira-kira 5,000 golongan profesional yang berdaftar dalam pelbagai bidang termasuk arkitek, jurutera, juruukur, peguam, akauntan dan doktor.
Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Penasihat Negeri Sabah (SEAC) yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri David Chu.