Fairuz Renddan
KOTA KINABALU: Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah, Fairuz Renddan berkata Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menerajui pemerintahan negara masa kini adalah kerajaan campuran yang saling bekerjasama dalam mengurus tadbir negara termasuk di saat berdepan pandemik Covid-19.
“Kerajaan Persekutuan adalah Kerajaan Perikatan Nasional yang terdiri daripada parti-parti komponen seperti BERSATU, UMNO, PAS, dan termasuk juga parti-parti tempatan Sabah seperti STAR, SAPP, PBS dan PBRS.
“Semua kita bersatu dalam nama Kerajaan Perikatan Nasional untuk memfokuskan kepada penyelesaian masalah yang melanda seluruh negara kerana Covid-19, jadi kenapa wujud sesetengah pihak boleh melabel kerajaan kini sebagai kerajaan gagal?
“Pastinya jika ada yang berkata demikian, bermakna dia sendiri tidak melihat kerjasama semua dalam gabungan yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional dan bercakap tanpa ada rasional,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu juga, sejak pengumuman darurat dibuat, semuanya adalah bertujuan untuk menambah usaha bagi memulihkan semula keadaan semasa negara dari segi kesihatan dan keselamatan.
“Darurat diumumkan asalnya adalah untuk menangani pandemik Covid-19, dan ini semua adalah untuk kebaikan rakyat dan negara, apatah lagi keadaan ekonomi turut merudum apabila pandemik global ini mula menjejaskan semua sektor dan industri.
“Pada pandangan saya, tidak wajar jika ada pihak bercakap sembarangan tentang kerajaan sebagai kerajaan gagal, kerana usaha kerajaan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan adalah tidak pernah henti-henti, dan semuanya demi melawan pandemik Covid-19 ini, sekaligus mensejahterakan rakyat,” tambahnya.
Fairuz mengajak semua pihak untuk bersama membantu usaha kerajaan dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19.
“Kita sekarang, fokus untuk pulihkan negara, pulihkan ekonomi, bantu rakyat, bangkit semula dan bebas dari belenggu Covid-19 yang sekian lama meruntun norma kehidupan kita, sehingga memaksa kita mengubah norma kita kepada norma baharu.
“Apa lagi jalan terbaik yang kita punya, selain daripada bersatu dan teguh melawan Covid-19, terus patuhi SOP, amalkan kawalan kendiri untuk diri sendiri dan keluarga serta orang sekeliling, dan ambil suntikan vaksin Covid-19.
“Inilah usaha kita, sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan negara dan mahu kehidupan seperti biasa, kehidupan di mana kita tidak perlu dibelenggu dengan ketakutan dengan pandemik yang mengancam nyawa ini,” ujar Fairuz lagi.