Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 370 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 73,506 kes.
Dua kes kematian juga dilaporkan pada hari ini iaitu satu kes di daerah Keningau dan satu kes lagi di Semporna.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, terdapat beberapa daerah yang merekodkan peningkatan agak tinggi melalui pelbagai saringan oleh KKM iaitu Kota Kinabalu 113 kes (+61), Tawau 55 kes (+23), Penampang 29 kes (+15), Kudat 29 kes (+12), Kota Belud 23 kes (+19) dan Sipitang 23 kes (+6).
“Selain itu, sebanyak 148 kes atau 40% berpunca daripada Saringan Kontak Rapat, 115 kes atau 31% daripada Saringan Kluster dan bakinya adalah daripada lain-lain saringan.
“Sebanyak 85 kes adalah saringan melibatkan tahanan dengan 49 kes adalah daripada Kluster Tembok Kota Kinabalu (Penjara Kepayan) dan 36 kes lagi adalah daripada saringan kesihatan yang dilakukan terhadap tahanan dalam siasatan polis iaitu 35 kes di Tawau dan satu kes di Kota Kinabalu,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.
Selain itu jelasnya, terdapat satu kluster baru iatu Kluster Kota Klias – Beaufort melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti yang majoritinya adalah keluarga dan pelanggan teksi sapu di beberapa lokaliti sekitar Mukim Kota Klias.
Katanya, kluster ini dikesan apabila kes indeks iaitu pengusaha teksi sapu, lelaki, 69, disahkan positif ujian RTK-Ag (grading 100%) di Hospital Beaufort pada 03 Julai 2021 dalam saringan kemasukan wad.
“Kes juga mula mengalami gejala demam dan batuk sejak 01 Julai 2021. Daripada 71 kontak yang disaring, kluster ini merekodkan kadar positif sebanyak 60.5 % dengan jumlah kumulatif 44 kes termasuk empat kes baharu pada hari ini,” katanya.