Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Daripada 286 kes yang direkodkan hari ini, 134 kes atau 46.85% adalah berpunca daripada Saringan Kontak Rapat.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 sebanyak 286 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 73,136 kes.
“Empat kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Kota Kinabalu masing-masing mencatatkan satu kes.
“Terdapat beberapa daerah yang mengalami peningkatan ketara iaitu pada julat dua angka seperti Papar 21 (+20) kes, Sandakan 25 (+18) kes, Sipitang 17 (+15) kes dan Keningau 13 (+10) kes,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, turut menyumbang kepada catatan kes positif Covid-19 Negeri Sabah pada hari ini ialah beberapa daerah yang merekodkan kes positif tinggi seperti Kota Kinabalu 52 kes,
Beaufort (34) dan Tawau (32), yang berpunca daripada pelbagai saring.
Terdapat satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Kg Melaman – Sipitang.
Katanya, ia adalah penularan jangkitan dalam komuniti. Kluster ini mula dikesan melalui saringan bergejala terhadap tujuh sekeluarga di Klinik Sindumin pada 09 Julai 2021, selepas tiga hari mengalami demam, sakit kepala dan sakit sendi.
Menurutnya, kes indeks merupakan tutor wanita, 17, mengajar di rumah keluarga terbabit dan bergejala serupa sejak 26 Jun 2021 tetapi tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.
“Susulan pengesanan dan saringan kontak yang dijalankan, terdapat pertambahan kes yang melibatkan kaitan epidemiologi yang sama iaitu sejarah menghadiri majlis agama di Kg Melamam.
“Setakat hari ini, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 bagi kluster ini ialah 37 kes termasuk 14 kes baharu,” jelasnya lagi.