KOTA KINABALU: Lebih 2,000 pengusaha restoran India Muslim Sabah (restoran Mamak) berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor kerana masih membenarkan makan dalam kedai makan dan restoran sejak 29 Jun.
Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah (DPPIMS) Abdul Kadir bin Faruk (gambar) berkata pengumuman seperti itu menerusi kenyataan rasmi oleh Ketua Menteri yang dikeluarkan pada Sabtu lalu (10 Julai) merupakan satu kelegaan besar dan penyelamat kepada pengusaha kerana perniagaan mereka semakin meningkat sejak 29 Jun.
Beliau berkata mereka sangat berterima kasih kepada Hajiji kerana mendengar rungutan mereka dan kerugian besar yang mereka tanggung apabila makan dalam premis tidak dibenarkan di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula pada 1 Jun 2021.
“Kami sangat gembira dan menyokong sepenuhnya tindakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor apabila beliau mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri memutuskan untuk mengekalkan SOP makan dalam premis di restoran, kedai makan dan restoran hotel yang berkuat kuasa pada 29 Jun.
“Ini benar-benar satu berita baik bagi kami terutamanya ahli kami yang mengusahakan restoran dan kedai makan di seluruh Sabah.
“Kami turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas keprihatinannya dan maklum balas positif kepada rayuan kami meminta bantuan daripada Kerajaan Negeri untuk membantu pengusaha terjejas dari segi kewangan atau menyediakan geran khas yang boleh meringankan beban mereka dalam membayar kos operasi terutamanya sewa bulanan premis perniagaan mereka,” katanya.
Abdul Kadir berkata demikian kepada Harian Ekspres Sabtu lepas ketika mengulas mengenai pengumuman rasmi Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang terus membenarkan makan di kedai makan dan restoran di Sabah apabila Sabah beralih ke Fasa 2 PPN berkuat kuasa Sabtu (10 Julai).
Pada Sabtu, Hajiji berkata dalam satu pengumuman rasmi bahawa “Kerajaan Negeri tetap dengan keputusannya untuk membenarkan makan di restoran, kedai makan dan restoran hotal di negeri ini”.
Beliau berkata arahan Kerajaan Negeri membenarkan perkara ini berkuat kuasa 29 Jun susulan pelaksanaan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara masih berkuatkuasa.
“Ini adalah pendirian kami,” kata Hajiji.
Bagi pihak pengusaha yang kebanyakannya ahli DPPIMS, Abdul Kadir berkata mereka tidak dapat berkata-kata apabila mengucapkan terima kasih kepada Hajiji kerana meluangkan masa untuk mendengar rungutan mereka tidak dapat meraih pendapatan akibat makan dalam premis tidak dibenarkan sebelum ini dan beliau tampil dengan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan perkara penting.
Dengan membenarkan makan dalam premis, katanya, ia dapat meningkatkan motivasi pengusaha untuk menjalankan operasi perniagaan mereka supaya dapat menjana pendapatan bagi menampung kos hidup ketika ini dan kos operasi perniagaan mereka.
Bulan lalu, Abdul Kadir dilaporkan dalam akhbar bahawa kira-kira 2,000 pengusaha restoran (Restoran Mamak) berkata mereka perlukan bantuan kerajaan negeri untuk meringankan beban mereka, dari segi kewangan kerana mereka mengalami kerugian besar dalam perniagaan restoran dan kebanyakan mereka hampir bankrap jika kerajaan tidak membantu mereka dari segi dana atau kewangan.
Beliau berkata ramai pengusaha menyewa premis untuk mengusahakan perniagaan restoran mereka dan malangnya, mereka tidak dapat menikmati moratorium kerana manfaat itu dinikmati oleh pemilik premis.
“Sejak Mac 2020, pendapatan pengusaha restoran tidak mencapai 20 peratus dan mereka terpaksa memberhentikan sebahagian pekerja untuk mengurangkan kos gaji.
“Selain itu pendapatan kami berkurangan kerana pelanggan hanya dibenarkan membeli makanan dan minuman untuk bawa pulang dari restoran. Malah ada hari-hari di mana restoran tidak mempunyai pelanggan semasa waktu operasi yang menjejaskan pendapatan harian mereka,” katanya.
Oleh itu, Abdul Kadir dilaporkan bahawa beliau mengulangi rayuannya kepada kerajaan negeri agar mempertimbangkan untuk menyediakan bantuan khas kepada usahawan India Muslim terjejas yang mengambil pekerja tempatan untuk bekerja di restoran mereka selama ini dan menjual makanan dan minuman pada harga yang murah untuk pelanggan mereka. – DE