Dr. Roland Chia
KOTA KINABALU: Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac), untuk pekerja industri pembinaan, akan diperluaskan ke Sabah dalam masa yang terdekat, kata Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia DR. Roland Chia Ming Shen.
Katanya, satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan di Sabah untuk mempercepat pelaksanaan CIVac di Sabah.
Pasukan petugas CIVAc Sabah akan melibatkan agensi persekutuan dan negeri serta pihak berkepentingan industri pembinaan iaitu pemaju, pembina, perunding profesional dan pengendali bahan-bahan perkakasan, jelasnya.
“Ini selaras dengan seruan Menteri Kerja Raya Persekutuan dan Ketua Menteri Sabah agar program vaksinasi untuk industri pembinaan di Sabah dipercepatkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dr. Roland berkata CIDB melalui CIDB Holdings Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh CIDB Malaysia) yang juga sebuah agensi di bawah Kementerian Kerja Raya Persekutuan telah memperkenalkan CIVac untuk mempercepat pengambilan vaksin oleh tenaga kerja pembinaan untuk mencapai imuniti kelompok dan mengurangkan bilangan kluster Covid-19 di tempat kerja.
Program ini bertujuan untuk melindungi kesejahteraan pekerja industri pembinaan dan seterusnya membantu dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia.
CIVac adalah sebagai pelengkap kepada Program Imunisasi Covid-19 Nasional (PICK) untuk mempercepat imunisasi rakyat oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Melalui CIVac, tenaga kerja industri di Sabah boleh mendaftar untuk program vaksinasi. Vaksin yang diberikan adalah percuma tetapi pihak majikan perlu membayar kos pentadbiran sebanyak RM90 se orang untuk menampung kos kemudahan perubatan dan perbelanjaan tempat pemberian vaksin kerana CIVac adalah inisiatif awam-swasta untuk mempercepat vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok.
Apabila kuota telah dicapai, pelaksanaan vaksinasi akan dilakukan bermula secepat mungkin dan pendaftaran boleh dilakukan melalui https://tinyurl.com/rrvdhje3.