Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri semalam secara rasminya mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu di bawah Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula semalam (10 Julai).
SOP tersebut pada mulanya dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara ((MKN) Sabah melalui platform rasmi dalam taliannya pada Jumaat, yang boleh diakses oleh orang ramai dan disebarluaskan di media sosial termasuk WhatsApp.
Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata keputusan Kerajaan Negeri untuk membenarkan aktiviti makan (dine-in) di premis makan seperti mula-mula diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada 29 Jun masih kekal dilaksanakan di bawah Fasa Dua PPN.
“Selain daripada SOP yang mesti dipatuhi di semua premis restoran, hidangan bufet tidak dibenarkan untuk mengawal pergerakan berlebihan oleh pelanggan semasa berada dalam premis.
“Makanan yang dipesan mesti dihantar dan dihidangkan oleh pekerja restoran di meja pelanggan. Peraturan ini terpakai bagi semua restoran termasuk restoran dalam hotel,” kata Masidi dalam kenyataan media semalam.
Di bawah Fasa Dua PPN, premis makan dibenar beroperasi dari jam 6 pagi hingga 9 malam. Ini termasuk restoran, kafe, kedai kopi, kenderaan bersaji, gerai tepi jalan, penjaja tepi jalan dan bergerak, pusat penjaja, medan selera dan kios.
Kedai runcit, kedai serbaneka, pasaraya mini dan pasaraya dibenar beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam.
Kompeks beli-belah juga dibenar beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam, tetapi hanya untuk kedai serbaneka, pasaraya mini, restoran serta pasaraya dan hypermarket yang menawarkan makanan dan minuman, barang keperluan asas, farmasi dan dandajan peribadi, yang terletak di dalam premis kompleks itu.
“Stesen minyak, termasuk kedai serbaneka di stesen itu, dibenar beroperasi dari jam 5 pagi hingga 10 malam.
“Pasar borong dibenar beroperasi dari jam 12.01 pagi hingga 6 pagi, sementara pasar awam dan pasar harian dibenar beroperasi dari jam 6 pagi hingga 3 petang.
“Gerai tepi jalan yang menjual sayur, ikan dan buah-buahan, tamu, pasar mingguan, pasar malam dan pasar tani tidak dibenar beroperasi di bawah Fasa Dua PPN,” kata Masidi.
Beliau menambah bahawa semua perkhidmatan perlu dibenar beroaperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam pada kapasiti 80 peratus.
Masidi berkata larangan rentas daerah kekal di bawah Fasa Dua, bagaimanapun Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan diklasifikasikan sebagai satu daerah.
“Hanya dua wakil dari setiap isi rumah dibenar keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat, suplemen makanan dan keperluan asas.
“Kanak-kanak dibawah umur 12 tahun tidak dibenarkan di premis perniagaan atau fasiliti awam kecuali untuk tujuan perubatan, pendidikan dan kecemasan serta senaman, sementara individu melebihi umur 70 tahun tidak digalakkan berada di kawasan awam,” katanya.
Pengangkutan awam dalam daerah sama dibenar beroperasi dari jam 5 pagi hingga 10 malam. Ini termasuk bas sekolah dan bas henti-henti dengan kapasiti 50 peratus sementara perkhidmatan e-hailing dan teksi dengan maksimum dua orang termasuk pemandu.
“Perkhidmatan kereta api juga dibenar beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam bagi kakitangan, dan 8 pagi hingga 5 petang bagi penumpqng,” katanya.
Sukan individu dan relreasi untuk tujuan kesihatan dan kecergasan peribadi dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 7 malam dalam lingkungan jarak 10 kilometer dari kediaman dan tertakluk kepada penjarakan fizikal dua hingga tiga meter. – DE