Christoper Mandut
KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) memuji semangat setiakawan yang tinggi yang ditunjukkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan para pemimpin lain UMNO Sabah.
Naib Presiden yang juga Ketua Pemuda PBS, Christoper Mandut berkata, keputusan Bung dan Sabah UMNO untuk terus kekal dan komited kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada GRS sememangnya harus diberikan pujian.
“PBS juga sentiasa berpegang teguh dengan prinsip setiakawan dalam GRS.
“Dengan komitmen tinggi UMNO Sabah, PBS dan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) Sabah, saya yakin GRS akan lebih kukuh dan fokus dalam memajukan Sabah, “ kata Christoper yang juga Ketua Pemuda PBS dalam kenyataan medianya hari ini.
Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, dalam kenyataannya pada 8 Julai, memberikan jaminan kepada Ketua Menteri bahawa UMNO Sabah akan terus bersama GRS.
Katanya, pendirian UMNO Sabah itu telah dinyatakan olehnya kepada Hajiji selaku Pengerusi GRS semalam.
UMNO Sabah adalah sebahagian daripada Kerajaan GRS dan akan memberi fokus kepada usaha membangunkan Sabah, jelas Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya.
Katanya, UMNO Sabah perlu bersolidariti dengan GRS kerana ini penting bagi memastikan janji yang diberikan kepada rakyat dalam Pilihanraya Negeri Ke-16 (PRN16) dapat ditunaikan.
Bung berkata, Kerajaan Sabah ditadbir GRS masih berfungsi seperti biasa dan menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat negeri itu.
“Kerajaan GRS Sabah dibentuk kerana adanya sokongan rakyat ,justeru kita perlu menghormati mandat rakyat. Kita baharu saja mengadakan PRN dan ketika ini Kerajaan GRS masih berfungsi seperti biasa menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya yang juga Menteri Kerja Raya.
“Mandat yang rakyat berikan kepada kita untuk menjadi Kerajaan perlu dimanfaatkan bagi membangunkan Sabah yang kini sudah agak jauh ketinggalan,” katanya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS, juga amat menghargai pendirian Bung yang konsisten dengan komitmen untuk terus bersama dalam Kerajaan GRS di negeri Sabah.
Hajiji berkata kenyataan terbuka itu menzahirkan komitmen padu semua kepimpinan GRS untuk menjunjung mandat rakyat di Sabah yang telah memilih kerajaan baharu di bawah gagasan GRS.
“Atas sebab itu, keutamaan kita adalah menjaga nasib dan masa depan rakyat serta negeri.
“Cabaran di hadapan kita adalah menangani isu kesihatan, keselamatan dan ekonomi susulan pandemik Covid-19.,” Kata Hajiji dalam kenyataan media hari ini.
“Justeru, sebagai Pengerusi GRS saya amat menghargai pendirian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah (Dato’ Sri Bung Moktar Radin) yang terus bersama kerajaan GRS di Sabah,” katanya.
Hajiji berkata perjuangan untuk bersama rakyat perlu diterjemahkan dengan komitmen semua pemimpin untuk fokus, bekerjasama dan bersatu padu untuk membawa Sabah keluar dari permasalahan ini.