SOOK: Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin yang juga ADUN Sook mengesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan segera untuk membaiki kerosakan pada bangunan Klinik Desa Kampung Tiulon sini.
Struktur bangunan ini sudah mulai rosak terutamanya bahagian atap, katanya.
“Pembaikan harus dilakukan dengan segera kerana klinik merupakan satu kemudahan yang amat penting di kampung ini, apatah lagi kedudukan klinik lain iaitu Klinik Sook terletak jauh di Pekan Sook,” katanya semasa melawat untuk melihat keadaan klinik tersebut.baru-baru ini.
Klinik Desa Tiulon dibina di Kampung Rancangan Belia Tiulon pada tahun 2005. Klinik yang berusia lebih kurang 16 tahun itu mula mengalami beberapa kerosakan di bahagian atap bangunan, yang kelihatan rapuh dan berisiko mengancam keselamatan kakitangan klinik dan pelawat.
Bertambah parah lagi apabila, projek penurapan di jalan utama kampung tersebut yang sudah lama dipohon oleh Ellron belum dapat dilaksanakan.
Hal ini menyebabkan kakitangan klinik terpaksa berhadapan dengan masalah penyebaran habuk daripada jalan utama terutamanya apabila musim kemarau. Ruang dalam klinik tersebut terpaksa dibersihkan berulang kali untuk memastikan kebersihan klinik sentiasa di utamakan.
Menurut Ellron, projek penurapan jalan sejauh 26 kilometer daripada jalan utama ke Kampung Kabuan belum dapat dilaksanakan kerana kekangan kewangan.
“Sekiranya projek tersebut dilaksanakan adalah lebih baik dijalankan secara berfasa iaitu fasa 1 dan fasa 2,” kata beliau.
Seorang Jururawat Masyarakat yang hanya ingin dikenali sebagai Shafiza berharap agar pihak KKM melihat sendiri keadaan mereka di klinik tersebut, kerana atap bangunan ini sudah lama mengalami kerosakan yang boleh mengancam nyawa mereka yang bekerja di situ dan penduduk sekitar
Selain itu, Shafiza turut meminta pertambahan kakitangan klinik memandangkan permintaan perkhidmatan penduduk yang semakin meningkat ekoran pertambahn jumlah penduduk.
Berdasarkan kepada info yang diterima, klinik ini merupakan salah satu kemudahan penting yang menjadi sumber perkhidmatan perubatan utama untuk beberapa kampung berdekatan, memandangkan ada di kalangan penduduk kampung yang sukar keluar kampung kerana faktor ketiadaan kemudahan pengangkutan dan keadaan permukaan jalan yang tidak baik.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Ketua Kampung, Joseph Bin Gukat, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Rancangan Belia Tiulon, Larry Duin Edwin, Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan Sabah, Jre Jeneus serta beberapa penduduk kampung dan UPPM Sook.