Noorliza Alip
KOTA KINABALU: Kedai makan dan restoran, termasuk hotel, di sini dibenar untuk meneruskan aktiviti makan di premis dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Sabah baharu bagi Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Datuk Bandar Noorliza Alip, pada Sabtu.
Beliau berkata, berikutan dengan SOP baharu itu, waktu operasi untuk premis berubah daripada jam 6 pagi hingga 7 malam (SOP lama) kepada 6 pagi hingga 9 malam.
Bagaimanapun, kedai makan dan restoran di pusat membeli belah di sini hanya dibenar beroperasi dari jam 6 hingga 8 malam, berdasarkan SOP Sabah Fasa Dua PPN.
Noorliza mengulas mengenai kekeliruan awam terhadap isu aktiviti makan (dine -in) dalam media sosial.
Beliau berkata DBKK mengikuti peruntukan aktiviti makan di bawah arahan kerajaan negeri susulan kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yang dikeluarkan pada pagi Sabtu.
Pada Sabtu, kerajaan negeri mengeluarkan satu kenyataan rasmi yang menyatakan Sabah kekal dengan keputusannya untuk membenarkan aktiviti makan di restoran, kedai makan dan restoran dalam hotel di negeri ini.
Hajiji berkata keputusan kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan telah dilaksanakan pada 29 Jun lepas, dan kini masih kekal tidak berubah ketika pelaksanaan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara.
“Ini adalah pendirian kami,” kata Hajiji dalam kenyataan rasmi beliau pada Sabtu susulan kekeliruan awam mengenai SOP aktiviti makan apabila Sabah beralih ke Fasa Dua PPN yang bermula Sabtu, yang tidak menyebut mengenai aktiviti makan di restoran dan kedai makan dalam SOPnya untuk Sabah.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Penampang (MDPg), Robert Malangkig memberitahu Daily Express pada Sabtu bahawa Majlis tidak pernah mengarahkan para pegawai penguatkuasanya untuk meminta kedai makan dan restoran di Plaza 333 menutup operasi atau tidak membenarkan aktiviti makan di premis sementara menunggu pengeluaran SOP Sabah baharu di bawah Fasa Dua PPN.
Sebaliknya, beliau berkata, penguatkuasa hanya melakukan pemeriksaan ke atas semua premis makan sama mereka mematuhi SOP ditetapkan.
“Ia tidak benar bahawa penguatkuasa kami meminta kedai makan dan restoran di Plaza 333 untuk tutup kedai dan tidak membenarkan dine-in.
“Mereka hanya memeriksa premis sama ada SOP dipatuhi serta memastikan kerusi dan meja yang diletakkan di luar premis mempunyai kebenaran Majlis, dan tanda-tanda menunjukkan MASUK dan KELUAR di premis itu.
“Setakat ini, tiada kompaun dikeluarkan kerana petugas kami hanya menasihatkan pemilik premis untuk mematuhi SOP sebagai cara mendidik mereka,” kata Robert. -DE