Ismail Sabri Yaakob
PUTRAJAYA: Kadar vaksinasi harian di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) pada hari ini melepasi kadar purata peringkat dunia.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar itu secara konsisten menunjukkan sejumlah 250,000 dos suntikan setiap hari sudah dicatatkan kebelakangan ini dan menyasarkan lebih 300,000 dos suntikan sehari mulai bulan ini.
Kejayaan itu ujar Menteri Pertahanan itu, memberi gambaran Malaysia sedang berada di landasan tepat usaha mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat untuk kembali kepada kehidupan normal.
Beliau turut menyatakan bahawa analisis kadar peningkatan jangkitan wabak itu di rantau Asia Tenggara ketika ini adalah 8.6 peratus berbanding Eropah yang merekodkan 33 peratus.
Data terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini jelas beliau, melaporkan perkembangan penularan pandemik tersebut di benua Afrika pula mencatatkan 16.7 peratus.
“Ada beberapa faktor utama yang menyumbang lonjakan ini antaranya penemuan varian baharu yang memiliki impak lebih serius dan merebak lebih cepat berbanding biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan, sejumlah 63 premis yang meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan di seluruh negara ditutup kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, pasukan Task Force (pasukan petugas khas) itu semalam melaksanakan pemeriksaan ke atas 1,915 kilang selain 18,278 premis perniagaan, 574 tapak pembinaan dan 192 asrama pekerja.
Secara keseluruhannya ujar beliau, mereka telah melakukan 83,068 pemeriksaan dan serbuan mengejut dengan jumlah kekuatan seramai 19,661 anggota dari pelbagai agensi.
Kerajaan ujar beliau, akan terus mempertingkatkan penguat kuasaan secara menyeluruh ke atas kilang dan premis perniagaan kerana didapati banyak berlaku pelanggaran arahan.