Dr. Noor Hisham Abdullah
PETALING JAYA: Persoalan sama ada Kementerian Kesihatan meluluskan penggunaan ubat Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19 akan dibuat sekiranya terdapat bukti kukuh terhadap keberkesanan dan kesan sampingannya kepada orang ramai.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjelaskan, sehingga kini pihaknya dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) membenarkan penggunaan ubat itu secara ‘off label’ seperti digunakan dahulu untuk rawatan antimalaria dan HIV.
Ketika ditanya kemungkinan ubat itu dipertimbang untuk merawat pesakit Covid-19, beliau menjelaskan, perkara itu masih dalam penelitian pihaknya.
“Insya-Allah, ada yang kita sudah benarkan penggunaan secara off label, tetapi dengan pemantauan rapi petugas hospital.
“Penggunaannya tidak didaftarkan tetapi dibenarkan sehingga kita ada bukti kukuh,” katanya dalam program wawancara ‘The Nation’ bertajuk ‘Covid-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita’ yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV semalam.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) memulakan ujian klinikal bagi mengkaji kesan penggunaan serta keberkesanan Ivermectin untuk pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi di 12 hospital bawah kementerian itu.
Namun pelbagai pihak menyuarakan ketidakpuasan hati ekoran keengganan Kementerian Kesihatan untuk menggunakan Ivermectin bagi merawat Covid-19.
Sebaliknya kementerian menjelaskan setakat ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membenarkan Ivermectin sebagai rawatan Covid-19 dalam kajian atau percubaan klinikal sahaja.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham memberitahu peperangan melawan Covid-19 kini semakin sengit dan lebih tertumpu di Lembah Klang berikutan kepadatan dan pergerakan penduduknya yang tinggi.
Beliau berkata petugas kesihatan dari negeri yang memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara akan ditempatkan di kawasan panas Covid-19 bagi membantu negeri yang memerlukan antaranya Selangor dan Kuala Lumpur.
Katanya, selain meningkatkan kadar vaksinasi, kawalan ketat juga dijalankan dalam tempoh dua minggu ini bagi membendung penularan virus itu di kawasan Lembah Klang.
“Dalam tempoh dua minggu ini bagi sektor yang dibuka, kita mahu lihat bagaimana untuk ketatkan kawalan. Dua minggu ini untuk beri masa supaya kita dapat kenal pasti kawasan terbabit, tingkatkan saringan serta kes kontak rapat dikesan dan seterusnya kurangkan jangkitan dalam komuniti kita.
“Kedua, pertingkatkan vaksinasi di Lembah Klang. Selangor masih jauh (ketinggalan) sebab penduduknya ramai jadi dari segi vaksinasi, memang banyak diberikan tetapi peratusan terima vaksin masih rendah. Kita dimaklumkan Selangor terima empat juta dos vaksin bulan ini,” katanya.