David Chan
KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Sabah mengalu-alukan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa Sabah kini telah masuk ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Presidennya, David Chan berkata, keputusan itu diharapkan dapat membuka semula aktiviti ekonomi di Sabah sekali gus memulihkan semula pelbagai masalah seperti kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.
“Dengan peralihan kepada fasa kedua ini, saya yakin kita dapat menggerakkan semula aktiviti ekonomi seperti perniagaan dan sektor industri.
“Keadaan itu diharap dapat membuka semula bidang pekerjaan dan pendapatan rakyat yang cukup terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh (lockdown) baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
David dalam pada itu turut menyokong keputusan Kerajaan Negeri untuk membenarkan makan (dine-in) di rstoran dan kedai makan, dan restoran di hotel di Sabah.
Katanya, pengumuman Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh pengusaha kedai makan, restoran dan sektor berkaitan kerana beribu-ribu rakyat cukup terkesan apabila sekatan itu dilaksanakan.