Mohd Ariffin Mohd Arif
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri tidak ada isu untuk tidak membenarkan orang Muslim yang belum divaksin menunaikan solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid-masjid Sabah, kata Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin bin Mohd Arif.
Bagaimanapun, katanya, keutamaan kuota adalah untuk mereka yang sudah divaksin.
“Kami telah membincangkan perkara ini (SOP untuk orang Islam menunaikan solat di masjid) termasuk Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk solat Hari Raya Aidil Adha dan ibadah korban, solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid dan surau, di peringkat jawatankuasa yang dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dan pejabat Mufti Sabah.
“Satu keputusan telah dibuat untuk memberi keutamaan kepada orang Muslim yang telah mengambil suntikan vaksin dos pertama atau kedua, asalkan mereka telah divaksin, untuk menunaikan solat Jumaat, solat lima waktu dan solat Hari Raya Aidil Adha di masjid. Tapi mereka yang belum divaksin turut diberi peluang untuk menunaikan solat,” katanya.
Arifin berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kira-kira 50 imam dari sini yang menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin di Wisma Wanita di sini, pada Jumaat.
Beliau mengulas kenyataan beberapa pihak yang mempersoalkan mengenai SOP yang hanya membenarkan orang Muslim yang sudah divaksin untuk menunaikan solat di mana-mana masjid di Sabah.
“Kami membangkitkan perkara itu bukan kerana tindakan Datuk Dr Muhammad Akjan bin Datu Ali Muhammad mengemukakan memorandum kepada Istana Negeri Khamis lalu untuk meneliti SOP menunaikan solat di masjid. Sebaliknya, kami turut meneliti perkara-perkara penting lain seperti memastikan imam dan guru-guru agama Islam diberi keutamaan untuk diberikan vaksin kerana mereka juga adalah petugas barisan hadapan.
“Kami bangkitkan perkara ini kerana kami menerima permohonan dari jawatankuasa-jawtankuasa induk masjid di Sabah yang menggesa kami memberi keutamaan untuk memberikan vaksin kepada imam dan guru-guru agama,” katanya.
Mengenai sama ada fatwa mungkin dikeluarkan untuk orang Islam yang belum divaksin untuk tidak dibenarkan menunaikan solat di masjid, Arifin mengulangi bahawa satu pekeliling akan diedarkan yangakan dibawa kepada Jawatankuasa Covid-19 Sabah, di mana orang Muslim yang telah divaksin diberi keutamaan untuk menunaikan solat di masjid dan mereka yang belum mengambil suntikan itu, digalakkan untuk menerima suntikan.
Bagaimanapun, katanya, mereka (yang belum divaksin) juga akan diberi peluang untuk menunaikan solat di masjid dan mematuhi SOP yang telah disediakan.
Mengenai SOP untuk orang Muslim menunaikan solat di masjid di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa hari ini (Sabtu), Arifin berkata hanya 50 orang dibenar menunaikan solat di masjid.
Mengenai bilangan imam dan guru-guru agama Islam yang divaksin, katanya sekitar 2016 Imam dan hampir 1,000 guru agama dianggap sebagai petugas barisan hadapan dan diberi keutamaan untuk divaksin.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor untuk ini. Pemimpin-pemimpin agama dari rumah ibadat lain serta jawatankuasa utama mereka seperti paderi, pastor dan sami, antara lain, juga diberi keistimewaan sama dengan imam kerana mereka juga adalah petugas barisan hadapan yang perlu diberikan vaksin.
“Tapi pada masa sama, imam, guru-guru agama dan pemimpin-pemimpin agama lain juga mesti tampil dan mencari jalan untuk mendapat vaksin seperti mendaftar melalui MySejahtera atau mendaftar secara manual dengan pemimpin masyarakat di kampung masing-masing,” katanya.
Sebagai contoh, kata Arifin yang juga Adun Membakut, pemimpin masyarakat di kawasannya seperti pengerusi JPKK dan ketua-ketua kampung diberi kuota harian 300 nama dengan mencari penduduk di kawasan masing-masing yang masih belum divaksin.
Menurutnya, pemimpin masyarakat akan mengemukakan nama-nama mereka ini kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) yang akan didaftarkan secara manual untuk menerima suntikan vaksin.
Menurutnya, ketua-ketua agama selain Islam dan jawatankuasa masing-masing di Sabah juga boleh mengemukakan nama kepada Jabatan Perpaduan Negara di Sabah supaya proses pemberian vaksin dapat dipercepat kerana mereka diberi keutamaan sebagai petugas barisan hadapan.
Turut hadir ialah pengarah Jheains Datuk Saifulzaman bin Sangul, Setiausaha Pejabat Tugas-Tugas Khas Sapdin Ibrahim, Pengarah Jhewa Rusnah Kuyung dan timbalan pengarahnya, Haslina Ismail. -DE