Jaulis ketika membuat tinjauan jambatan yang menghubungkan Kampung Sanang Dalit dan Kampung Karamatoi.
SOOK: Sudah lebih dua tahun sejak jambatan yang menjadi perhubungan di antara penduduk Kampung Sanang Dalit dengan penduduk Kampung Karamatoi terputus akibat banjir kilat yang melanda di kampung tersebut.
Sebelum ini jambatan tersebut merupakan salah satu laluan perhubungan utama bagi penduduk Kampung Dalit ke Sook, memandangkan jalan ini merupakan jalan pintas untuk ke Pekan Sook.
Namun disebabkan jambatan ini terputus ramai penduduk terkesan terutamanya penduduk Kampung Sanang Dalit kerana mereka terpaksa menggunakan alternatif lain yang lebih jauh dan memakan masa.
Rata-rata penduduk kampung tersebut mengeluh kerana mereka mengalami kesukaran terutamanya apabila ada ahli keluarga yang sakit tenat untuk dibawa ke klinik berdekatan. Selain itu, penduduk kampung juga sukar mengeluarkan hasil komoditi mereka memandangkan jambatan tersebut tidak boleh dilalui.
Beberapa penduduk kampung yang ditemui memberitahu jambatan tersebut dibina pada tahun 1970an lagi namun telah runtuh dua tahun lepas disebabkan oleh banjir kilat akibat aktiviti pembalakan yang tidak terkawal di hulu Sungai Karamatoi.
Permasalahan tersebut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Ellron Angin yang juga Menteri Belia dan Sukan melalui lawatan beliau ke kampung tersebut pada 5 Disember 2020.
Beliau kemudiannya memanjangkan masalah tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu Jabatan Kerja Raya, Keningau memandangkan pembinaan jambatan ini merupakan salah satu tanggungjawab pihak tersebut kerana termasuk dalam kawasan kampung.
Walau bagaimanapun, masalah tersebut masih berlarutan disebabkan kos pembinaan yang dianggarkan menelan ratusan ribu ringgit.
“Saya sudah bawa masalah tersebut kepada pihak Jabatan Kerja Raya namun sampai sekarang masih belum mendapat sebarang jawapan.
Oleh itu, sebagai wakil rakyat di kawasan ini saya menggesa agar pihak berkenaan mempercepatkan pembinaan jambatan tersebut memandangkan ia sememangnya memberikan manfaat kepada penduduk setempat,” tegas Ellron ketika ditemui.
Rentetan daripada permasalahan tersebut, diatas inisiatif beliau, pembinaan baru jambatan Kampung Sanang Dalit telahpun dimasukkan dalam perancangan Unit Pembangunan Ekonomi Nasional (UPEN) di bawah Skim Bencana Alam dalam usaha memastikan permasalahan ini mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan.
Seorang penduduk Kampung Sanang Dalit yang ditemui berkata beliau mewakili penduduk kampung mengharapkan agar pihak yang berkenaan dapat mempercepatkan pembinaan jambatan baharu.
“Sudah dua tahun kami menunggu pembinaan jambatan baharu namun, tidak ada sebarang usaha pihak berkenaan untuk melihat keperluan kami ini. Kami juga mahukan limpahan pembangunan di kawasan kami. Tidak ada maknanya kita dipanggil negara maju, sekiranya pembangunan luar bandar diabaikan,” kata Lingkungan yang mendesak agar Kerajaan mendengar keluhan mereka.
Wakil Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sook, Jaulis Romou baru-baru ini mewakili Ellron untuk melihat sendiri keadaan jambatan tersebut. Didapati jambatan tersebut tidak selamat digunakan. Namun atas kerjasama penduduk kampung mereka telah membina jambatan kecil dan ianya hanya boleh dilalui kenderaan kecil seperti motorsikal sahaja.
Diharapkan keluhan penduduk kampung di sini akan didengar dan diberikan pertimbangan oleh pihak yang berkenaan. Pembinaan jambatan baharu pastinya dapat manfaatkan pembangunan di kampung-kampung berdekatan di kawasan tersebut.