Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 251 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 72,042 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, terdapat empat kluster baru direkodkan hari ini.
“Kluster KKIP Empat Timur – Kota Kinabalu merupakan penularan jangkitan yang berlaku di dua kilang papan iaitu di Jalan Tuaran, Telipok dan KKIP Industrial Zone.
“Kes indeks adalah lelaki, 51 yang disahkan positif Covid-19 hasil saringan bergejala di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah pada 06 Julai 2021,” katanya pada kenyataan hari ini.
Katanya, Kluster Grandview – Sandakan, Putatan, Penampang merupakan kluster tempat kerja di sebuah syarikat kontraktor pembinaan di daerah Sandakan.
Kes indeks adalah lelaki, 22, yang disahkan positif ujian 100% RTK-Ag di Kota Kinabalu pada 28 Jun 2021.
“Kluster Balak Penangah – Tongod melibatkan jangkitan dalam kalangan pekerja kilang pemprosesan kayu balak di Mukim Penangah daerah Tongod.
“Kes indeks adalah lelaki, 47, pemandu jentera berat di syarikat terbabit,” kata Masidi ya g juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Selain itu, Kluster Jalan Membalua – Tawau berlaku dalam komuniti di Mukim Balung, Daerah Tawau. Kes indeks merupakan lelaki, 24, bukan warganegara disahkan positif Covid-19 melalui saringan bergejala di Klinik Mayfair Tawau pada Julai 2021.
Masidi berkata, daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes positif yang tinggi di Negeri Sabah pada hari ini iaitu 82 kes dengan pecahan 36 kes berpunca dari Saringan Kluster, 22 kes dari Saringan Bersasar, 18 kes dari Saringan Kontak Rapat, lima kes dari Saringan Bergejala dan satu kes daripada lain-lain saringan.