Pelajar yang cemerlang dalam SPM dan STPM sempena Majlis Anugerah Bestari Kecemerlangan.
SEMPORNA: Nasib pelajar sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya terus mendapat perhatian Pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Penaung Jaringan Prihatin, Harris Ebin berkata, pihaknya dengan kerjasama ahli jawatankuasa program, Barahim Bagang, dan Sarail Lahabun bersama dengan Ketua Kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) telah menganjurkan satu program iaitu Majlis Anugerah Bestari kecemerlangan pelajar bagi Kampung Sakong Kecil pada Khamis lalu .
Dalam majlis berkenaan, pihaknya menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada tiga pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan lapan orang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Harris Ebin
Menurut Harris lagi, kesemua pelajar ini merupakan pelajar dari SMK Bugaya, Semporna.
“Pelajar-pelajar ini rata -ratanya berasal dari keluarga petani. Namun demikian, ia tidak menghalang mereka untuk terus maju dalam pendidikan,” katanya.
Harris diwakili oleh Penasihat Jaringan Prihatin Semporna, Hassan Abdul Rahim di majlis berkenaan.
“Saya berharap anak jati Semporna akan terus maju dan gah dalam pendidikan di negeri ini,” kata Harris ketika dihubungi.
Jaringan Prihatin akan terus giat menghulurkan bantuan kepada penduduk DUN Bugaya.
Dalam program yang sama, bantuan bakul makanan turut disampaikan kepada seramai 50 Ketua Isi Rumah (KIR) dari Kampung Sakong Kecil dalam DUN berkenaan.