M. Saravanan
TAPAH: MIC menghormati keputusan UMNO menarik sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin namun menegaskan perkara itu juga perlu dimuktamadkan di peringkat Barisan Nasional (BN).
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, sehingga kini tiada sebarang perbincangan dilakukan antara parti komponen lain di dalam gabungan besar BN berhubung isu berkenaan.
“Sebagai parti politik, keputusan menarik sokongan itu adalah pendirian UMNO dan MIC sebagai rakan kongsi (di dalam BN) menghormati pendirian Majlis Tertinggi (MT) parti itu.
“Bagaimanapun, perkara tersebut juga harus dimuktamadkan di peringkat BN kerana sebagai parti komponen, semua terikat dengan gabungan tersebut.
“Walaupun dari MIC, saya bertanding sebagai ahli Parlimen dengan watikah oleh BN, begitu juga dengan wakil rakyat lain. Semua wakil rakyat bukan UMNO, MIC dan MCA tetapi BN,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan bakul makanan di Dewan Gandhi di sini hari ini.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah memberitahu, MIC masih kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin sehingga keputusan diambil di peringkat BN.
“Setakat ini, saya tidak dengar apa-apa di peringkat BN, jadi kita tunggu saja. Buat masa ini, kita menyokong kepimpinan Muhyidiin.
“Keputusan UMNO itu adalah pendirian parti tetapi harus dibawa ke peringkat BN. Saya percaya kita boleh bincang dan buat satu keputusan yang baik,” katanya.
Tambah beliau, dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang teruk, isu kebajikan rakyat adalah perkara utama yang perlu diberi diutamakan.
“Di saat ramai yang sedang menderita, sepatutnya kita perlu fokus kepada kebajikan rakyat bukannya politik untuk kepentingan diri,” katanya.