Muhyiddin Yassin
PETALING JAYA: Buat masa ini tiada perancangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut sumber dalaman Utusan Malaysia, tiada sebarang makluman mengenai pertemuan antara Tuanku dan Ahmad Zahid.
“Tiada dalam perancangan untuk presiden menghadap Agong hari ini.” jelas sumber ringkas.
Awal pagi tadi, Ahmad Zahid mengumumkan parti itu menarik sokongan daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Susulan itu, beliau mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan Perdana Menteri secara terhormat setelah kepemimpinan Presiden Bersatu itu gagal menguruskan negara yang dilanda pandemik Covid-19 serta menjaga kebajikan rakyat.
Terdahulu sebuah portal melaporkan, Muhyiddin akan menghadap Agong dipercayai bagi memohon perkenan melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat.
Perdana Menteri dijadual menghadap Al-Sultan Abdullah petang ini yang turut bakal mempersembahkan perkembangan semasa poliitk berkaitan dengan penarikan sokongan UMNO.