KOTA KINABALU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menemui penyimpanan haram sisa berbahaya terbesar di Sabah apabila ia menemui lebih 1,000 tangki yang mengandungi apa yang disyaki sebagai bahan buangan terjadual separa pepejal di Manggatal dekat sini.
Pengarah JAS Sabah, Amirul Aripin berkata, penemuah itu menyusuli laporan yang dibuat penduduk tempatan di Kg. Kembirian, Manggatal, bulan lepas.
“Pada 26 Jun, Jabatan menerima laporan pertama daripada seorang penduduk di Kg. Kembirian mengenai bau bahan kimia seperti diesel yang menyebabkan penduduk kurang selesa,” katanya dalam sidang media di premis penyimpanan itu, semalam.
“Jabatan juga menerima beberapa laporan lain dari penduduk tempatan yang turut terjejas oleh bau itu.”
Susulan itu, satu pasukab anggota JAS menjalankan siasatan pada 27 Jun dan mendapati bahawa bau minyak itu boleh dikesan di sesetengah rumah penduduk.
“Siasatan mendapati pencemaran bau itu datang dari premis itu di kampung terbabit. Bau seperti diesel dan minyak diproses, boleh dikesan di pintu masuk premis dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Selepas menjalankan siasatan selama seminggu, JAS bersama polis dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjalankan operasi bersepadu pada Selasa (6 Julai) untuk menyerbu premis yang mencetuskan pencemaran bau itu.
“Operasi itu mendapati lebih 1,000 tangki bahan buangan terjadual separa pepejal.
“Sampel yang diambil dari tangki itu dihantar ke Jabatan Kimia Sabah untuk dianalisa,” katanya.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana tiada pekerja di premis itu ketika serbuan dibuat.
“Berdasarkan label pada tangki itu, adalah dipercayai bahawa stor itu masih baharu tetapi telah beroperasi tahun ini,” katanya.
Amirul berkata siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenalpasti pemilik premis itu.
Tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, di mana jika sabit kesalahan pesalah boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan didenda tidak melebihi RM500,000.
– DE