Hj. Ruslan dalam Program Ziarah Cakna, menyerahkan bantuan bakul makanan kepada seorang pelajar SK Weston, Beaufort.
BEAUFORT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Hj. Ruslan telah melaksanakan Program Ziarah Cakna 2.0 ke lima buah kampung di Pekan Weston, Beaufort.
Beliau yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn. Bhd menjelaskan, program ini merupakan satu kolaborasi di antara pemimpin setempat dengan pihak sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian pembelajaran murid dengan mengenal pasti sosioekonomi sasaran.
Katanya, lima kampung yang terlibat ialah Kg. Laut, Kg. Menengah, Kg. Hulu, Kg. Lok Pond dan Kg. Darat Weston.
Hj. Ruslan yang diiringi oleh Guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Weston, Saimon Senang berkata, objektif ziarah Cakna ini adalah sekolah menjalinkan semangat Ukuwah (Perpaduan) dengan keluarga murid untuk menunjukkan keprihatinan pihak sekolah dengan masalah murid.

Hj. Ruslan menyerahkan bantuan bakul makanan semasa Ziarah Cakna.
“Seramai 20 orang murid SK Weston yang menetap di lima buah kampung dalam pekan Weston ini telah kami ziarah dan dari pihak saya sebagai ADUN telah menyumbangkan keperluan asas makanan, manakala pihak sekolah menyumbangkan kewangan hasil dari kutipan oleh guru kelas atas insiatif pentadbir sekolah.
“Mereka yang terlibat dalam ziarah cakna ini telah dipilih oleh guru kelas bersama guru Penolong Kanan Sekolah berdasarkan taraf hidup yang rendah dan mempunyai masalah dalam penghantaran tugasan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” kata Hj. Ruslan.
Beliau juga menyeru semua rakyat di negeri ini khususnya di DUN Lumadan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah di tetapkan oleh pihak KKM dan MKN dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 dan juga mendaftarkan diri bagi mendapatkan suntikan vaksin di MySejahtera.
Terdahulu, Hj. Ruslan sempat meninjau keadaan jalan raya yang perlu dinaik taraf di Kampung Lingkungan Laut dalam DUN berkenaan.