Masidi Manjun
KOTA KINABALU:Jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 279 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 71,468 kes.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tiga kes kematian direkodkan hari ini iaitu masing-masing satu kes di daerah Semporna, Lahad Datu dan Beaufort.
“Terdapat dua kluster baru hari ini iaitu Kluster Istimewa Dua – Sandakan melibatkan jangkitan dalam komuniti di lokaliti Kg. Istimewa, Sandakan.
“Sebelum ini, Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan pernah melaporkan kejadian kluster di kampung yang sama pada 14 November 2020.
“Pada kali ini, kes indeks merupakan lelaki, 48, dikesan positif Covid-19 hasil saringan bergejala pada 25 Jun 2021 di Klinik Kesihatan Sandakan,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, saringan yang dijalankan terhadap 261 kontak mendapati 27 orang disahkan positif termasuk dua kes baharu, sementara 229 orang didapati negatif dan lima orang lagi masih menunggu keputusan.
Katanya, Kluster Lumadan – Beaufort melibatkan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga dan rakan sekerja dari pelbagai lokaliti berbeza di sekitar Mukim Lumadan.
“Kes indeks adalah lelaki, 19, disahkan positif Covid-19 melalui ujian RTK-Ag 100% di Klinik Subha Beaufort pada 29 Jun 2021, selepas bergejala demam dan batuk sejak 24 Jun 2021.
“Hasil saringan kontak rapat, sembilan ahli keluarga dan jiran didapati positif. Berdasarkan siasatan, kegagalan mematuhi SOP dan penjarakan fizikal semasa aktiviti permainan atas talian (online gaming) dalam kalangan belia dikenal pasti menjadi punca penularan,” katanya.
Katanya, bermula dari 29 Jun 2021 hingga 8 Julai 2021, terdapat 46 kes termasuk dua kes baharu hari ini daripada 110 saringan yang dijalankan. Kadar positif adalah sebanyak 41.81 peratus.