PEMAIN tengah Denmark, Christian Eriksen sewaktu mewakili pasukannya menentang Finland dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan Euro 2020 di Stadium Parken, Conpenhagen, 12 Jun lalu.- AFP
LONDON: Badan bola sepak Eropah, UEFA menjemput perancang Denmark, Christian Eriksen dan paramedik yang membantu menyelamatkan nyawanya, untuk hadir menyaksikan perlawanan akhir Euro 2020 di Stadium Wembley, Isnin depan.
Laporan Utusan Malaysia- UEFA berkata, Eriksen, pasangannya dan enam ahli paramedik dijemput ke pentas akhir tersebut, namun tiada pengesahan kehadiran diterima setakat ini.
Perancang tengah Inter Milan itu mengalami serangan jantung sewaktu mewakili Denmark menentang Finland dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan Euro 2020 di Stadium Parken, Conpenhagen.
Salah seorang ahli paramedik, Peder Ersgaard berkata, adalah satu penghormatan apabila mendapat jemputan bertaraf VIP dari Presiden UEFA, Aleksander Ceferin.
“Saya sangat teruja, seperti kanak-kanak ketika menyambut Hari Krismas. Saya sangat berbangga dengan usaha saya, termasuk seluruh pasukan. Ia bukan hasil usaha saya seorang.
“Saya berharap Denmark menentang Italy dalam saingan akhir nanti. Ia akan menjadi satu perlawanan yang sangat besar.
“Bayangkan, jika Denmark menjuarai kejohanan Eropah,” kata Ersgaard.